Showing posts with label zina. Show all posts
Showing posts with label zina. Show all posts

Wednesday, November 18, 2009

Taat Hidup Berkat - Just Do It

Apa-apapun, jangan sampai merosakkan orang dan diri sendiri.
Jangan sekali-kali main betina. 
Tidak perlu pun simpan girlfriend @ makwa @ cewek. 
Kerana dengan menjaga akhlak anda, menjaga maruah anda, menjaga agama anda, maka Allah AKAN kurniakan seorang isteri yang solihah. 

Satu realiti yang terbukti berlaku pada semua zaman kerana peraturanNya tetap sedari dulu: Ayahanda dulu pun tidak pernah ada girlfriend, dan tidak pernah bercinta pun. Tapi kemudiannya punya isteri cantik yang kini menjadi ummi @ emak anda sekarang. 

Kita perlu yakin bahawa Allah jua yang memiliki dan menguasai khazanah yang hebat. 
Dengan mentaatiNya, Allah berkuasa memberikan anda yang terbaik.

BERSAMA MEMBINA DUNIA ADIL SEJAHTERA



Wednesday, November 04, 2009

Bahana Zina

Bahana seks bebas
ISLAM melarang penganutnya berzina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa nikah. Ia juga melarang seseorang itu bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks secara rambang atau bebas.

Setiap perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara adalah jalan terbaik bagi mengelak menyesal di kemudian hari.
 
Seks bebas adalah perkara yang wajib dielak, sebab itu agama melarang keras kerana dalam perspektif perubatan moden diakui bahawa amalan seks bebas boleh mendatangkan kemudaratan.

Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.

Hakikatnya ialah, gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar diduga, terutama jika hubungan itu tidak dirancang.

Kajian menunjukkan hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang bakal dilakukan.

Kebanyakan mereka melakukan perbuatan itu dengan orang yang mereka kenali dan biasanya tidak terlintas dalam minda mereka yang si dia mungkin membawa jangkitan.

Bagi lelaki, jika anggota sulit mengalami kesakitan dan lendir seperti air mazi keluar dari salur kencing selepas melakukan persetubuhan, dia berkemungkinan dihidapi penyakit kelamin.

Jika tidak menggunakan kondom, kondom digunakan bocor, terlucut atau koyak, ada kemungkinan terkena jangkitan. Jika cecair kekuningan keluar dalam masa 24 jam selepas melakukan hubungan seks, kemungkinan terkena jangkitan Gonorhea.

Bagaimanapun, jika lendir yang keluar itu berlaku beberapa minggu kemudian dan ia keluar sedikit atau hanya kelihatan tanda di dalam seluar dalam, kemungkinan ia jangkitan kuman Virus Chlamydia.

Jika menghidap jangkitan itu, ada kemungkinan ia boleh merebak ke buah zakar dan mengakibatkan keradangan buah zakar. Jika ia merebak ke pundi prostat, keradangan prostat boleh berlaku.

Saya ingin mengingatkan yang andainya jangkitan dan virus itu disebarkan kepada wanita lain, kemungkinan besar wanita malang itu boleh mandul.

Lelaki berkenaan juga berkemungkinan mandul jika jangkitan itu mengakibatkan salur spermanya tersumbat.

Kepada mereka yang terlanjur dan mengesyaki terkena jangkitan, segera jumpa doktor. Ujian darah akan mengesahkan jangkitan dan penyakit ini ada rawatannya.

Sumber: DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/SakitTuan/20090913140356/Article/indexp_html

Ulasan: Kepada yang terlanjur, jom bertaubat dan berhentilah dari melakukan aktiviti yang termasuk diantara dosa besar dalam hukum Islam. Cukuplah menganiaya dan merosakkan diri sendiri dan orang lain. Anda Bijak Jauhi Zina.

Wednesday, October 07, 2009

Zina & Riba Menarik Azab Allah

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila perzinaan dan riba telah melanda suatu negeri, maka penduduk negeri itu telah menghalalkan turunnya azab Allah atas mereka sendiri”. (HR Thabrani dan Al Hakim).

Berjaga-jaga jangan sampai mengundang azab Allah.

Berdakwahlah kerana dakwah menarik rahmat Allah.

Tuesday, August 18, 2009

Penyakit zaman moden: Berzina kerana ikhlas

Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah:

Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

JAWAPAN DR. DANIAL

Yang Ikhlas yang dihormati.Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas. Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi).

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita.. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu (Surah Al-Baqarah ayat 223). Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli.

Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan (menghalalkan) cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli. Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia - Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia -Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).
.
Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda: Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani).

Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Kaum Lut hancur kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga hancur kerananya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.(Semoga jawapan ini juga mendatangkan manfaat kepada mereka yang lain)

http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=News&file=article&sid=1975

Ulasan: Anda Bijak Jauhi Zina.

Thursday, January 08, 2009

Kita Yang Bersalah Bila Anak Gadis Mabuk Dengan Perzinaan

oleh Pak Teh Majid

Terkejut saya membaca laporan berita tentang ramainya remaja perempuan Islam yang terjerumus dalam lembah perzinaan sejak usia masih mentah lagi. Segera saya sedar bahawa perlu tindakan segera bagi mengatasi konflik sosial yang makin membarah ini.

Bayangkan, anak-anak remaja perempuan yang masih bersekolah, berumur di bawah 15 tahun tetapi saban hari mengadakan persetubuhan haram, dan berbangga dengan maksiat yang mereka lakukan, masya-Allah. Malah, rakan-rakan sebaya yang tidak pernah berzina akan dikutuk, atau paling kurang diperli, kerana kononnya tidak mengikuti peredaran zaman.

Perkembangan buruk ini adalah mala petaka di atas kelalaian kita sebagai umat yang sepatutnya dibangga oleh Nabi Muhammad kerana berperanan bagi menyeru kebenaran dan mencegah maksiat. Lebih teruk, umat Islam yang sedar tentang tugas dan tanggungjawab pun makin melupai peranan unggul sebagai jurudakwah.

Saya mohon keampunan kepada Allah kerana turut alpa dan lalai dengan peranan mulia warisan para Nabi ini. Kita semakin hidup sendiri-sendiri, hanya menjaga diri, keluarga dan kelompok sempit. Dunia yang makin terlungkup seperti tidak dipedulikan.

Anak-anak muda yang kehilangan arah itu menjadi tanggungjawab kita bagi memandu mereka ke arah jalan yang lurus dan selamat.

Dengan duduk berdiam diri, sekadar menggeleng kepala tanda tidak berpuas hati atau membantah lingkungan mungkar, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebaliknya kian terperosok dengan fenomena kemaksiatan melampau itu. Moga Allah tidak menurunkan bala atas semua umat disebabkan kelalaian kita BERDAKWAH.

http://kedahlanie.blogspot.com/

Komen: Jom Bersama Berdakwah Menyelamatkan Manusia Dari Siksa Akhirat.

Monday, June 02, 2008

Budaya Hantaran Pernikahan Yang Menyusahkan Kita

Tajuk asal: Hantaran! Oh Hantaran!
http://an-nawawi.blogspot.com

Biasalah, musim-musim cuti sekolah ni...majlis walimah mana-mana pun ada. Semua berlumba-lumba nak buat majlis nikah-kahwin. Majlis tunang-tunang pun tak ketinggalan, ada yang buat jugak. Semua perancangan disusun rapi.

Sampai masanya, sapa yang tak nak kahwin kan...

Pantun yang disusun turut dialun, saling berbalas wakil kedua belah pihak. Dulang pula berbalas dulang, sirih pinang pun turut bertukar tangan. Tiba masanya, hantaran juga turut diatur dan dirunding.

Mahar dan hantaran tidak boleh disamakan. Mahar lain hal, hantaran pula lain pakej. Biasanya, hantaran dikeluarkan dan disediakan oleh si lelaki yang berhajat mengahwini wanita. Hantaran diatur dan ditetapkan dari pihak pengantin wanita.

Hantaran ni macam harga dagangan lah pulak. Kalau si perempuan tu cantik, berpelajaran tinggi, kaya, maka...mahal lah hantarannya. Ini lumrah kebiasaannya lah bagi masyarakat “Melayu”. Antara hantaran yang biasa diguna-pakai adalah set pengantin siap serba satu, ini termasuklahlah bilik pengantin, set tilam pengantin, set hand phone, baju, kain, naskhah al-Qur’an, dan pelbagai lagi boleh saja dijadikan barang hantaran.

Malah, ada tu kereta besar dan rumah besar pun boleh menjadi syarat sah-nya hantaran. Kalau tak disiapkan dengan keperluan yang diaturkan, maka bertangguhlah hajat si pengantin. Silap-silap boleh tak jadi perkahwinan tu. Maklumlah, mahal tu... Mana mahu korek kawan...

Em, yang paling biasa dijadikan hantaran, adalah duit lah. Money... money... kalau kita lihat majlis-majlis kahwin artis-artis tu, fuuhh! Ribu-ribu, berbelas-belas ribu, atau mungkin berpuluh-puluh ribu si lelaki mesti bayar kepada wanita atau keluarga si wanita tu. Malah bukan berpuluh ribu, ratus ribu pun ada.

Tapi, yang cukup sedihnya... banyak jugak yang fail. Membazir je kahwin mahal-mahal ni. Ia bukanlah syarat jaminan kebahagian sesuatu rumah tangga. Kalau ikut Islam, bukan itu tujuan perkahwinan. Bukan untuk berjual beli dan tawar-menawar. Bukan juga untuk menunjuk-nunjuk sapa grand. Silap-silap tertunjuk lah pulak sapa lingkup dulu. Tak ke sedih macam tu. Adalah lebih baik duit tu buat belanja keperluan yang betul. Belanja harian keluarga yang baru dibina dengan penuh hikmah. Itu lebih menjamin kebahagian sebenarnya.

Malah, dalam sibuk-sibuk bertukar-tukar hantaran dan mengumpul-ngumpul duit hantaran ni. Tahu tak kita, bahawa bab-bab hantaran ni karut marut sebenarnya. Entah datang dari mana agaknya. Kalau ikut Islam, yang ada cuma mahar je. Bukan hantaran. Lepas tu, hantaran mengalahkan mahar lagi tu.

Kasihan kaum lelaki. Susahnya nak kahwin. Padahal dah sama-sama suka. Tapi, masalah duit pulak. Bukan masalah takde duit untuk menampung hidup. Tapi, kena berduit yang lebih untuk nak runtuhkan tembok pemisah tu. Kalau tak, menganga saja lah. Tengok saja dari balik tembok.

Zaman sekarang agaknya zaman berdagang anak perempuan. Sapa-sapa nak menikahkan anak perempuan, masa tu lah masa kegembiraan. Kerana anak perempuan bakal membawa pulangan lumayan. Mungkinkah begitu yang difikirkan? Fikirlah sendiri...

Baiklah, sapa yang nak mengada-ngada ikut yang bukan cara Islam tu, tak dapat nak buat apa lah. Yang diketahui, dalam Islam yang ada cuma mahar je. Telah dijelaskan mahar yang dipersetujui, akad nikah berjalan lancar, pasangan suka sama suka, wali pun dah setuju, semuanya ditanggung beres.

“Permudahkan, jangan dipersulitkan”

Kalau ikut zaman Rasulullah dulu, punyalah senang nak kahwin. Yang penting agama mesti mahu baik. Perempuan solehah boleh tunggu je... insyaALLAH, ada lah yang akan merisiknya dari kalangan laki-laki yang soleh. Perempuan nak risik lelaki pun tiada masalah, bila kena syaratnya. Malah, maharnya murah dan mudah sahaja. Ini adalah bertepatan sebagaimana pesanan Rasulullah shallallhu ‘alaihi wa sallam sendiri,

“Di antara kebaikan wanita adalah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 23957. Dihasankan oleh Sheikh al-Albani di dalam Shahiih al-Jami’, 2/251)

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab an-Nikah, no. 2117. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam al-Irwaa’, 5/345)

Atas saranan dan pantauan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, pada masanya, pernikahan berjalan dengan mudah dan tidak disulitkan dengan kepelbagaian adat dan metod yang bukan-bukan. Seperti hantaran beribu-ribu, akad nikah mesti bersalam dengan bergoncang tangan, sesi fotografi yang memakan ratusan ringgit, aurat disingkapkan di depan khalayak awam, pelamin pulak mesti disiapkan, majlis persandingan mesti dilangsungkan, menepung tawar mesti direnjiskan, dan pelbagai lagi tambahan-tambahan yang karut marut yang langsung tidak tsabit (sahih) dari agama Islam yang tulen.

Apa sebenarnya yang dikejar? Kemewahan? Grand? Sikap menunjuk-nunjuk? Mahu berjual beli? Atau mahu merosakkan agama dan menggantikannya dengan adat? Apakah tidak cukup mudah dan cantik apa yang disunnahkan oleh Nabi kita shallallahu ‘alaihi wa sallam?

Sedangkan Nabi pernah menikahkan para sahabat-sahabatnya hanya dengan mahar sebiji emas, hafalan surah al-Qur’an tertentu, baju besi, cincin besi, beberapa dirham mata wang, beberapa genggam kurma, dan seumpamanya. Mengapakah kita tidak puas dengan apa yang dicadangkan dan dipermudahkan oleh Rasulullah untuk syi’ar pernikahan dan perkahwinan kita zaman ini? Carilah berkah dan petunjuk dari apa yang dicontohkan oleh Rasulullah.

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar engkau mencintai Allah, maka ikutlah aku”.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi mereka yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Jadi siapakah yang kita jadikan ikutan sekarang? Hawa nafsu? Adat? Atau siapa?

Jawablah sendiri...

Sebelum mengakhiri artikel ringkas ini, mari kita lihat apa itu mahar sebenarnya.

Syari’at yang gemilang lagi sesuai sepanjang zaman ini adalah bertujuan memelihara hak-hak wanita. Mahar adalah apa yang diberikan kepada isteri berupa harta, atau selainnya menurut persetujuan dengan sebab pernikahan atau dinikahi.

Mahar wajib dikeluarkan oleh seorang lelaki yang ingin menikahi seorang wanita,

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Dosa yang paling besar di sisi Allah ialah orang yang menikahi wanita lalu ketika telah menyelesaikan hajatnya darinya, maka dia menceraikannya dan pergi dengan membawa maharnya...” (Hadis Riwayat al-Hakim, 2/182. Dihasankan oleh Sheikh al-Albani di dalam as-Silsilah ash-Shahihah, no. 999)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“Maka berilah mereka maharnya (dengan sempurna) sebagai suatu kewajiban.” (Surah an-Nisaa’, 4: 24))

“Kerana itu, kahwinilah mereka dengan keizinan tuan mereka dan berilah maskahwin mereka dengan patut.” (Surah an-Nisaa’, 4: 25)

Mahar adalah pemberian yang dilindungi yang diwajibkan Allah untuk diberikan kepada wanita; bukan sebagai imbalan sesuatu yang wajib dia berikan, kecuali memenuhi hak-hak suami isteri, sebagaimana halnya dia tidak dapat digugurkan (walaupun wanita itu rela) kecuali setelah akad. (Audatul Hijaab, 2/298)

Maka,

“Permudahkanlah, jangan dipersulitkan, jangan dipersusah-susahkan...” dengan hal yang bukan-bukan dan yang pelik-pelik yang tiada contoh dan saranannya dari Rasul ikutan kita jika benar kita mencintai dan mengharapkan keredhaan Allah yang sebenar.

Menurut Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Adakanlah walimah, walau pun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Nikah, no. 5155)

Wallahu a’lam.

Kepada sahabat-sahabat yang berminat untuk mengetahui Persoalan Nikah, perkahwinan, dan majlis walimah yang berorientasikan Islam dan bertepatan dengan sunnah-sunnah Rasulullah, saya cadangkan anda membaca tiga-tiga buah buku ini:

1 – Panduan Menikah Ala Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, Tulisan Sheikh Amru Abdul Mun’im Salim, Terbitan Pustakan an-Naba’. (Tajuk setelah cetakan baru: “Panduan Menikah Menuju Keluarga Sakinah”)

2 – Panduan Menikah Dari A hingga Z, Tulisan Abu Hafsh Usamah bin Kamal ‘Abdir Razaq, Terbitan Pustaka Ibnu Katsir.

3 – Adab az-Zifaf (Panduan Nikah), Tulisan Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terbitan Media Hidayah.

Tambahan oleh: jiwakitamerdeka.blogspot.my
Apabila nikah di sukarkan, maka berlakulah zina di sana sini...
Mari kita mudahkan nikah.

Tuesday, August 02, 2005

BERHATI-HATI MENEMPUH HIDUP BUJANG @ SEBELUM BERTUNANG (SIRI 2)

Berhati-hatilah menempuh hidup bujang iaitu belum bernikah kerana ada orang berpegang kepada kata-kata: SEBELUM NIKAH, ENJOY LAH DULU. Maknanya bersuka-suka betul-betul, enjoy betul-betul kemudian bernikah.

Apakah ertinya bersuka-suka dulu, enjoy dulu? Dalam Islam penilaiannya amatlah mudah. Kita boleh buat apa saja yang kita suka asalkan tidak melanggar sebarang peraturan hidup yang ditetapkan Islam. Kita sudah besar panjang dan setiap kita sampai bila-bila bertanggung jawab secara individu di dunia dan di akhirat terhadap apa yang kita apa yang kita lakukan. Itulah yang yang di maksudkan dengan mukallaf di dalam Islam. Pastikan kita sentiasa berada didalam kawasan halal yang di izinkan. Sila rujuk penerangan yang lebih terperinci mengenai Hadith yang ke 6 dalam Hadith 40 Imam Nawawi. Jangan sampai berhampiran sempadan larangan kerana di takuti melakukan yang haram.

Untuk bersuka-suka, untuk enjoy, janganlah sampai kita mengganggu atau merosakkan orang lain, lelaki atau perempuan, tidak kira siapa dia, samada dia rela atau tidak. Perkara yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki-perempuan bukan mahram adalah termasuk hak Allah yang tidak ada siapa boleh mengizinkannya. Kalau kita pun berpegang kepada kata-kata bersuka-suka dulu berapakah ramai orangkah yang kita perlu kita rosakkan sebelum akhirnya menemui jodoh kita. Kebiasaannya kebanyakan orang lain itu sebenarnya orang yang sama dari sudut rasa (taste) – dari sudut warna kulit, bangsa dan agama - dengan kita. Sebenarnya kita telah melakukannya kezaliman di atas nama bersuka-suka kepada orang lain dari warna kulit, bangsa dan agama sendiri. Kalau orang lain itu dari warna kulit, bangsa dan agama berbeza dari kita, kenapa kita dengan rakus merosakkan dia. Sepatutnya kita memimpinnya kepada cahaya kebenaran Islam.

Apa akan jadi dalam masyarakat setempat kalau semua orang muda (dan apatah lagi kalau orang tua) mengambil cara hidup sebegini? Di lihat dalam perpektif mikro individu sebagai seorang muda yang mendapat untung, dapat enjoy sebelum kahwin kita mungkin seronok dengan budaya sedemikian. Kita sebagai seorang lelaki dan perempuan yang normal sudah tentu tidak menyenangi perkara yang sama yang terpaksa dilalui oleh ibu kita sewaktu muda, adik perempuan kita, kakak kita atau puteri kita satu hari nanti. Sebenarnya pendirian itu kurang tepat bagi kita sebagai dalam perspektif makro hidup bermasyarakat yang mementingkan kesejahteraan untuk semua.

Nasihat yang paling baik kepada orang bujang: bila bersedia, bernikahlah. Bersedia dari fizikal dan ruhi. Walaubagaimanapun bersedia dalam aspek ruhi (spiritual) itulah paling utama. Kita sendiri kena smart susun dan melakukan secara serius untuk rapatkan diri kita dengan agama, mengamalkan agama Islam, kenal Allah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w. bersama kawan-kawan. Soalan-soalan yang mungkin timbul: Perlukah ada kereta, rumah tersergam dan kelengkapan lain seperti tv, video, langsir, kerusi set, peti ais, dsbnya? Jangan bersusah-payah dengan sesuatu yang boleh di lambatkan (delayed), utamakan yang perlu dulu : first things first. Kebanyakan syarikat perniagaan yang hari ini besar bermula dari kecil. Starts small. Anda sebagai boss yang baru yang membuat keputusan.

Bernikah awal lebih baik pada zaman ini kerana menjaga agama. Bernikah menghalalkan perhubungan suami isteri dalam pandangan Allah. Rugi lambat nikah kerana tidak dapat pahala yang diberikan Allah kepada orang yan bernikah. Bahkan tidak bernikah bukan bererti boleh buat perkara-perkara yang di larang agama. Berzina adalah dosa besar yang wajar di jauhi. Berkata Imam Habib Abdullah Haddad (meninggal 1132 Hijrah) di dalam bukunya Nasihat Agama dan Wasiat Iman yang di cetak pada 1982 di Singapura oleh Pustaka Nasional, bahawa nikah kahwin itu akan menghambat waswas syaitan mengenai nafsu perempuan dari dalam dada. Beliau menambah dengan berkata kahwin itu akan mengekang mata dari melihat yang haram, serta memelihara kemaluan dari menyentuh yang dilarang.

Di sambung dengan BERHATI-HATI MENEMPUH HIDUP BUJANG @ SEBELUM BERTUNANG (SIRI 3) yang akan menyusul, Insya Allah.


KEARAH DUNIA ADIL & SEJAHTERA

Monday, August 01, 2005

BERHATI-HATI MENEMPUH HIDUP BUJANG @ SEBELUM BERTUNANG (SIRI 1)

Ada tiga perkara yang terpaksa di sentuh bila bercakap mengenai berhati-hati menempuh hidup bujang atau sebelum bertunang. Pertama mengenai apa yang di sebut oleh Tamar Djaja (1913- ) dalam bukunya Tuntunan Pekawinan & Rumah Tangga Islam yang di cetak 1980 oleh PT AlMa’arif di Bandung, Indonesia, masa berpacaran iaitu pergaulan muda-mudi dengan bebas menentukan pilihannya untuk jodohnya. Beliau dan para cendiakawan Islam rata-ratanya bersepakat berdasarkan hujjah dari Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. bahawa pergaulan bebas (free mixing) antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh bernikah) adalah dilarang agama Islam.

Janganlah kita mencemarkan diri kita dengan melakukan perkara yang dilarang Allah. Kalau benar-benar strict menjaga agama, elakkanlah pergaulan bebas. Somehow, memang sengaja dirancang atau berlaku dengan perlahan-lahan atau tiba-tiba sekiranya tidak berhati-hati, berlakulah apa yang telah berlaku : kita mempunyai teman intim yang mungkin seorang atau lebih dari seorang daripada berlawanan jantina (opposite sex).

Hati kita sudah terlalu suka terhadapnya. Teman intim adalah teman yang special tidak seperti kawan-kawan biasa. Walaupun seorang tetapi manakan sama seperti ramai kawan lain. Bak kata pepatah beauty is to the beholder. Biar orang kata apa asal hati suka. Orang yang bercinta seperti dibuai mimpi indah. Segala-galanya indah bila hati kita sudah suka. Dunia menjadi seolah-olah berwarna-warni dan penuh dengan bintang-bintang cantik. Jatuh hati menyebabkan sanggup berkorban diri (lalu tidak pelik ramai yang sudah menjadi korban jalanan). Lautan api sanggup direnangi asalkan dapat bersama-sama. Maka sibuklah kita melayan si dia. Kita dipenuhi dengan program bersama teman intim kita. Kita ke hulu ke hilir, ke mana saja membawa atau dibawa pasangan masing-masing. Akal kita disalahgunakan untuk mencari berbagai alasan. Berbagai alasan boleh diberikan bergantung kepada matlamat kita.

Mencuri adalah tidak di sukai dalam mana-mana masyarakat pun hatta di kalangan pencuri. Mengambil kepunyaan orang lain tanpa hak dan menggunakannya seperti hak sendiri adalah kerja yang hina. Perkara ini kita semua memahaminya. Sejak kecil kita diasuh supaya menghormati hak orang lain dan jangan mencuri. Jarang kita dengar anak-anak di didik supaya tidak menghormati hak orang lain dan di asuh mencuri. Seseorang pencuri pun tidak suka miliknya di curi orang.

Sayangnya teman wanita (girlfriend/s) atau teman lelaki (boyfriend/s) sebenarnya bukan milik kita. Sebenarya Allah memiliki kita semua, bahkan segala-galanya yang ada di alam semesta dan di akhirat. Jangan mencuri milik Allah. Dalam apa juga keadaan kita, tentunya perlu mengikut kehendak agama Islam yang kita sayangi.

Kalau hendak atau terlalu berhajat mendapatkannya mintalah kepadaNya. Kita bermohon kapada Allah (rujuk pakar dan Kitab Fiqh mengenai solat sunat istikharah) berdasarkan pengetahuanNya supaya ditaqdirkan si dia bagi kita. Kalau memang baik dari sudut agama kita serta dunia kita dan membawa akibat yang baik pada urusan kita berikan berkat kepadanya.

Dalam percintaan kita merasa seolah-olah si dia milik kita. Sebenarnya kawan dan teman perempuan juga adalah kepunyaan orang lain iaitu her legal husband in the future, suami yang sebenar dimasa akan datang. Jangan mencuri perempuan dari suaminya pada masa depan atas sebab cinta pada masa kini.

Oleh sebab itu seseorang perempuan kini mesti menjaga dirinya untuk suaminya pada masa depan itu. Kalau ini berlaku, sesiapa saja orang lelaki yang menjadi suaminya pasti gembira kerana dia masih suci dan tidak tercemar angkara bekas teman lelakinya dulu (free mixing bisa membawa kepada free sex) kerana memang dia tidak ada teman lelaki dan selamanya menjauhi perkara yang di haramkan agama Islam. Begitu juga seseorang perempuan. Dia bergembira kerana mendapat suami yang masih suci kerana menjauhi perkara-perkara yang di larang agama Islam.

Rupa-rupanya terdapat hikmah (wisdom) untuk kebaikan kita apabila menjauhi perkara-perkara yang di larang agama Islam. Bila Islam di amalkan, semua orang akan dapat manfaat. Allah memberikan agama Islam untuk bukan untuk diriNya tetapi untuk manfaat manusia.
Perkara kedua akan di sentuh dalam Berhati-hati Menempuh Hidup Bujang @ Sebelum Bertunang (Siri 2) yang akan menyusul, Insya Allah.

KEARAH DUNIA ADIL & SEJAHTERA