Tuesday, November 29, 2011

Puasa Sunat Dalam Bulan Muharram? Puasa Sunat 9 & 10 Muharram?

Alhamdulillah. Sekarang kita berada di bulan Muharram 1433H. Kira bulan satu ikut kalendar kita.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: Seafdhal-afdhal puasa sesudah Ramadhan ialah puasa pada bulan Muharram (HR Muslim).

Dari Ibnu ‘Abbas RA: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda, yang bermaksud: Demi jika aku masih hidup sampai tahun yang akan datang, sesungguhnya aku puasakan hari yang ke-9 itu (HR Muslim).

Dari Abu Qatadah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa hari ‘Asyura (iaitu 10 Muharram). Jawabnya, yang bermaksud: Dapat menghapuskan dosa-dosa satu tahun yang lalu (HR Muslim).

Selamat berpuasa sunat, ikut Sunnah Nabi kita SAW.
Nota ringkas: Bulan Muharram merupakan satu daripada bulan-bulan haram dalam Islam.
Tugasan: Sila semak amalan yang digalakkan dalam bulan haram. Tanyalah ustaz atau ustazah mengenai hal ini.

Tinta Perjalanan: Melahirkan Murabbi Yang Berjaya

Melahirkan Murabbi Yang Berjaya


Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti:

1. Mempersiapkan manusia.
2. Membentuk dan memformatnya menjadi peribadi muslim contoh.
3. Menghilangkan potensi negatif dari diri anak didik (mutarabbi).
4. Mengembangkan potensi positif pada diri anak didik (mutarabbi).

Tarbiyah bererti berinteraksi dengan makhluk manusia yang memiliki banyak dimensi dan permasalahan yang kompleks.

Orang yang berinteraksi dengan makhluk selain manusia dengan mudah dapat menundukkan dan mengendalikannya namun berinteraksi dengan manusia tidak dapat disamakan dengan berinteraksi dengan binatang atau makhluk lainnya.

Dengan yang demikian, membangun manusia dengan proses tarbiyah memerlukan murabbi-murabbi yang profesional.

Oleh kerana itu, tidak semua orang mampu mentarbiyah, bahkan orang yang sudah memiliki :

a. Kefahaman yang bagus.
b. Latarbelakang ilmiah yang memadai.
c. Kemampuan berbicara.
d. Kemampuan berdialog yang baik.

sekalipun, masih belum cukup untuk menjadi murabbi yang berjaya.

Mengingati bahwa mentarbiyah manusia bukan suatu pekerjaan yang mudah maka para murabbi dituntut untuk terus melakukan peningkatan kualiti diri agar menjadi murabbi yang profesional.

DEFINASI MURABBI

Menurut syariat Islam, Murabbi adalah orang yang berkewajiban melakukan tugas pentarbiyahan di mana fokus kerjanya ialah pada pembentukan peribadi muslim soleh (baik) dan musleh (melaksanakan tugas pengislahan) yang memberi perhatian kepada aspek-aspek berikut :

PERTAMA : Aspek pembentukan.

Aspek ini memberikan penekanan kepada tiga (3) sisi penting iaitu :

1. Pembentukan jiwa kerohanian.
2. Pembentukan wawasan pemikiran.
3. Pembentukan kegiatan amal.

KEDUA : Aspek pemeliharaan.

Setelah ketiga-tiga sisi di atas telah wujud dalam peribadi mutarabbi, maka ianya perlu dijaga dan dipelihara serta dibuat penilaian supaya tidak berkurang, menurun atau melemah.

KETIGA : Aspek pengembangan.

Setelah adanya usaha-usaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan serta meningkatkan kualiti, maka di samping itu perlu pula ada pandangan jauh ke depan bahwa tugas pentarbiyahan mesti bersedia dan mampu menawarkan konsep perubahan yang mampu mengajukan jalan penyelesaian kepada berbagai permasalahan umat dan berani tampil untuk memimpin umat.

KEEMPAT : Aspek pengarahan.

Akhirnya proses itu mestilah juga mampu bagi memperkasakan kualiti diri untuk menjadi unsur perubah yang aktif dan produktif di mana murabbi sepatutnya mampu untuk :

a. Mengarahkan.
b. Meletakkan fungsi.
c. Memperkasakan.

anak didik (mutarabbi) mereka sesuai dengan bidang dan kapasitinya.

Manakala anak didik (mutarabbi) mereka pula hendaklah sentiasa bersedia untuk :

a. Diarahkan.
b. Ditugaskan.
c. Ditempatkan.
d. Diberi fungsi.

sehingga kedua-duanya mampu memberikan sumbangan yang nyata dan praktikal untuk masyarakat dan umat serta tidak ragu-ragu untuk berjuang dan berkorban demi tertegaknya Agama Islam.

RASULULLAH SAW SEBAGAI MURABBI

Manusia pertama dalam Islam yang bekerja sebagai murabbi adalah Rasulullah saw.

Di dalam Al-Qur'an banyak ayat yang menjelaskan fungsi pentarbiyahan seperti di dalam ayat-ayat berikut :

"Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (QS Ali Imran : 164)

"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta buruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata". (QS Al Jumu'ah : 2)

Di dalam surah Al-Baqarah, Allah swt berfirman :

"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui." (QS Al Baqarah : 151)

Dalam ayat di atas, adalah jelas bahwa Rasulullah saw diutus kepada ummatnya sebagai murabbi (kama arsalna fikum rasulan minkum).

Selain itu, baginda dalam melaksanakan fungsi pentarbiyahan telah dibekalkan dengan kurikulum dan penguasaannya yang benar dan utuh (yatlu `alaikum ayatina).

TUGAS TARBIYAH BUKAN MUDAH

Sudah menjadi tugas dan kewajiban seorang murabbi untuk menjadikan mutarabbinya menjadi peribadi yang berjaya dan juga berdikari dalam segala hal di dalam kehidupannya, termasuk juga menanamkan nilai-nilai kebaikan kepada mereka.

Perkara ini bukanlah persoalan yang mudah bagi seorang murabbi untuk dapat mencapai matlamat yang digariskan di atas kerana ia memerlukan :

1. Kerja keras.

2. Kesabaran.

3. Strategi.

4. Contoh tauladan yang terbaik.

Menanamkan kebiasaan yang baik kepada anak didik (mutarabbi) mestilah dengan contoh-contoh yang realistik yang kemudiannya boleh dilihat oleh anak didik (mutarabbi) secara "real" dengan mata kepala mereka sendiri.

Sebagai contoh, suasana mutarabbi yang suka berteriak dan meninggikan suara, boleh jadi kerana mereka biasa ditengking dirumahnya oleh ibu bapa mereka, orang-orang yang mengasuhnya ataupun juga teman-teman sepermainannya.

Banyak lagi contoh dan peristiwa yang mungkin kita temui dalam kehidupan seharian kita tentang ketidakbaikan yang dilakukan oleh anak didik (mutarabbi) adalah disebabkan oleh keburukan yang ditunjukkan oleh orang dewasa ataupun teman sepermainan yang ada di sekitarnya.

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN

Ada beberapa perkara yang mesti kita perhatikan ketika kita ingin menanamkan kebiasaan-kebiasaan yang baik terhadap anak didik (mutarabbi) kita iaitu :

PERTAMA : BERIKAN QUDWAH ATAU CONTOH YANG BAIK TERHADAP MEREKA

Sudah pasti, menjadi seorang murabbi memerlukan keupayaan seseorang untuk dapat memberikan qudwah atau contoh yang terbaik terhadap mutarabbi mereka.
Mana mungkin mereka yang kita didik akan menjadi peribadi yang baik jikalau kita sebagai seorang murabbi tidak memberikan contoh dan tauladan yang baik terhadap mereka.

Banyak perkara yang kemudian boleh kita lihat di dalam realiti dan keadaan pentarbiyahan kita ketika ini, manakala seorang murabbi hanya mengajarkan perkara-perkara yang bersifat teori semata-mata ataupun penyampaian bahan sahaja tetapi tidak mendorong mutarabbi dari sudut pentarbiyahan yang lainnya seperti tingkah lakunya, motivasinya dan lain-lain.

Kita tidak seharusnya mudah merasa bangga ketika anak didik (mutarabbi) kita berjaya di dalam bidang akademik mereka akan tetapi di sisi yang lainnya mereka tidak cerdas bahkan terkebelakang dari segi :
1. Moral.

2. Tingkah laku.

3. Cara berfikir.

dan hal-hal yang lainnya.

Hal ini boleh berlaku mungkin disebabkan oleh ketidakpedulian kita terhadap perkara-perkara baik yang seharusnya kita contohkan kepada mutarabbi kita.

KEDUA : BERIKANLAH GANJARAN DAN PUJIAN

Kita pasti merasa senang dan gembira ketika orang atasan kita memberikan "reward" (ganjaran). Boleh jadi ganjaran yang diberikan kepada kita bukanlah besar sangat.

Janganlah kita melihat besar atau kecilnya ganjaran ataupun barang yang akan diberikan akan tetapi kita melihat kepada inti dari pemberian ganjaran itu iaitu untuk memberikan penghargaan terhadap apa yang telah dilakukan.

Ingat, bahwa apa yang kita berikan tidak semestinya berupa barangan akan tetapi boleh juga dalam bentuk ucapan seperti :

1. Bagus.
2. ‘Well done’.
3. ‘Good work’.
4. ‘Keep it up’,

Ucapan-ucapan inilah yang kemudiannya akan membuatkan anak didik (mutarabbi) kita melakukan perkara yang serupa terhadap temannya ataupun orang dewasa yang ada di sekitar mereka kerana dia sudah biasa melakukan kebaikan dan kemudian dihargai dengan ucapan atau perbuatan yang baik sehingga secara automatiknya akan timbul kesedaran dalam peribadinya.

KETIGA : CERITAKANLAH PERJALANAN HIDUP / KISAH YANG BOLEH MEMOTIVASI MEREKA

Banyak sekali buku-buku cerita / kisah-kisah yang boleh meningkatkan motivasi anak didik (mutarabbi) untuk melakukan nilai-nilai kebaikan.

Contohnya seperti cerita tentang bagaimana mendidik mutarabbi supaya gemar bersedekah, tidak membazir, menghormati ibu bapa dan lain-lain.

Kita yang sudah dewasa pun masih suka mendengar cerita-cerita ataupun kisah perjalanan hidup insan cemerlang apalagi anak-anak didik kita.

KEEMPAT : INGATKANLAH MEREKA PADA SETIAP KESEMPATAN SEHINGGA PERKARA ITU MENJADI SEBUAH KEBIASAAN DALAM KEHIDUPAN MEREKA

Tarbiyah bukanlah hanya sekadar mengajarkan sahaja apa yang kemudiannya mesti dicapai oleh anak didik (mutarabbi), tetapi yang lebih penting adalah bagaimana sebuah teori ataupun inti pentarbiyah itu sendiri boleh diaplikasikan oleh anak didik (mutarabbi) dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh kerana itu, ingatkanlah mereka pada setiap kali kita bersama mereka untuk melakukan nilai-nilai kebaikan itu dalam kehidupan seharian mereka.

Harapannya adalah supaya kemudian ianya akan menjadi sesuatu yang secara otomatiknya akan
diaplikasikan dalam kehidupannya tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

KELIMA : AJAK MEREKA KEPADA SESUATU YANG SIFATNYA “REAL” DAN TIDAK HANYA BERSIFAT TEORI

Mengajak mereka dalam kegiatan pembelajaran dan ko-Kurikulum bagaimana untuk merealisasikan sikap dan tingkah laku kita ketika berbicara dengan orang yang lebih tua ataupun yang lebih muda, lemah lembut dalam berkata-kata dan perkara-perkara baik yang lainnya akan membuatkan anak didik (mutarabbi) semakin ingat untuk sentiasa melaksanakan nilai-nilai kebaikan itu di dalam kehidupan mereka.

Janganlah kita hanya berkata-kata sahaja terhadap mereka akan tetapi juga berikanlah contoh "real" atau aksi nyata terhadap mereka di atas apa yang menjadi landasan teori yang kemudiannya direalisasikan melalui perlakuan di alam yang nyata.

Tidak dinafikan pentingnya kurikulum (manhaj) dan wasilah-wasilah tarbiyah, namun ianya selepas adanya murabbi yang berkemampuan lagi bijak, yang mentarbiyah dan mengajar menggunakan :

1. Akal.
2. Hati.
3. Jiwa.
4. Ruh.
5. Budi Pekerti.

MARI DAPATKAN SAHAM KITA

Ramai peribadi yg telah berubah perjalanan hidup mereka kerana satu hadiah dari murabbi yang ‘ikhlas’ ataupun tumpuan sejenak dari murabbi yang mulia.

Sertakan ‘kesabaran’ dalam tugas tarbiyah kita, sesungguhnya seseorang itu tetap dalam keadaan beribadat yang dikurniakan ganjaran sekiranya kita ‘ikhlaskan niat’ kerana Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang di bawah tanggungjawab pentarbiyahan kita hari ini adalah tunggak bagi perkembangan dakwah dan ummah di masa hadapan.

Mari kita dapatkan saham dari saham-saham kebaikan, iaitu :

1. Berkhidmat untuk agama.
2. Mentarbiyah untuk pembangunan akhlak mulia.
3. Menanam nilai-nilai dan asas-asas kebaikan dalam diri anak didik (mutrabbi) mu.

Kelak kita akan melihat masa depan yang menyejukkan mata kita dan di Akhirat pula ianya menjadi sesuatu yang meninggikan darjat kita.

Perumpamaan seorang murabbi adalah seperti :

“Bumi yang subur kehijauan memerlukan petani yang menyemai tanaman.”

KEUTAMAAN MURABBI

Kita percaya murabbi dalam tugas pentarbiyahannya adalah seperti pakar bedah dalam bilik operasinya, di mana di tangannya terletak kesembuhan pesakit (dengan izin Allah) ataupun kematiannya (dengan izin Allah), walau sehebat manapun hospital, peralatan dan kecanggihan peralatan pembedahan kerana hanya dengan kesilapan kecil pakar bedah itu sahaja boleh membawa padah yang buruk.

Ya! demikianlah ‘kerja-kerja pentarbiyahan’ di mana kejayaannya bergantung kepada sejauh mana hubungan fikiran, perasaan dan jiwa di antara murabbi dengan anak didik (mutrabbi) melalui ilmu dan kemahirannya.

Maka kerja pentarbiyahan itu merupakan satu :

1. Seni.
2. Anugerah.

Begitu juga ia adalah :

1. Ilmu.
2. Amal

Sekiranya kita hanya tumpukan kepada ilmu semata-mata, jadilah kerja pentarbiyahan itu seumpama membangun busut pemikiran dan maklumat yang sebenarnya boleh didapati di dalam buku-buku dan jurnal-jurnal.

Sekali-kali kita tidak berhajat kepada ciptaan bernyawa yang merbahaya dan membinasakan seperti itu, ataupun kita tidak juga berhajat kepada seseorang yang diistilahkan sebagai murabbi seumpama itu.
Murabbi yang berkemampuan lagi tinggi motivasinya mampu merubah keadaan yang sangat sukar kepada satu kekuatan yang mendorong kepada sumbangan dan pengorbanan.

Manakala murabbi yang lemah dan pembinasa semangat boleh merubah keadaan yang paling baik kepada ‘jadam’ yang pahit, menjadikan terputusnya ikatan dan lemahnya perasaan serta menyebarkan kesan yang sangat negatif dalam kerja-kerja pentarbiyahan.

Sesungguhnya!

“Di sebalik ummat yang hebat, terdapat pentarbiyahan yang hebat.”

“Di sebalik pentarbiyahan yang hebat, terdapat murabbi yang benar, jujur dan ikhlas.”

Sesungguhnya tugasmu adalah berkorban kerana ia adalah ibu segala pekerjaan. Di atas bahumulah tanggungjawab membina ummah seluruhnya.

Wahai para murabbi! Kamu adalah asasnya.

    1. Kuatnya ummah kerana kuatnya kamu.
    2. Lemahnya ummah adalah kerana lemahnya kamu.
Ya Allah, mudahkanlah kami sebagai murabbi untuk menyampaikan bahan tarbiyah dengan cara yang terbaik dan berkesan serta memberi keutamaan kepada perkara yang perlu diutamakan dahulu dan mencapai matlamat untuk mengubah dari sesuatu yang bersifat teori kepada yang bersifat amali dan praktikal. Kurniakanlah kami ketenangan dalam kami melaksanakan tugas untuk mencapai objektif tarbiyah sehingga ianya menjadi penunjuk jalan kepada mereka-mereka yang mendapat bahan pentarbiyahan dari kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Thursday, November 24, 2011

Beberapa Teladan Orang Yang Redha Atas Takdir Allah

Teladan Orang Yang Redha Atas Takdir Allah



1. Nabi Muhammad saw.

Allah Ta’ala berfirman,


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzaab: 21)

Rasulullah saw. adalah contoh teladan terbaik yang perlu kita contohi dalam konsep redha. Baginda pernah berdoa,

“Ya Allah, dengan pengetahuan-Mu pada yang ghaib, dan kuasa-Mu atas makhluk-Mu, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku. Aku memohon rasa takut pada-Mu baik dalam keadaan terang-terangan mahupun dalam keadaan sembunyi-sembunyi, tanamkanlah keikhlasan saat redha dan marah. Aku memohon kepadaMu kenikmatan yang tidak pernah putus. Dan aku memohon kepada-Mu agar Engkau tanamkan keredhaan (dalam hati) atas semua takdir-Mu, kehidupan yang damai setelah mati dan nikmatnya melihat wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu denganMu. Aku berlindung pada-Mu dari sesuatu yang membahayakan dan fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, perindahkanlah diri kami dengan iman dan jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menyebarkannya (kepada orang lain).” (HR Nasa’i)

Kita boleh melihat keredhaan Rasulullah pada saat Ibrahim, putera baginda, meninggal dunia. Dialah (Ibrahim) satu-satunya anak lelaki baginda, dan saat itu usia Rasulullah sudah mencapai 62 tahun. Rasa cinta Rasulullah kepadanya sangat mendalam, sehinggakan saat Rasulullah pergi ke rumah para sahabat, baginda mendokongnya. Tetapi, pada usianya mencapai 6 tahun, putera kesayangannya itu meninggal dunia. Apa yang dilakukan Rasulullah ketika itu?

Anas bin Malik berkata, “Kami bersama Rasulullah saw. berkunjung ke rumah Abu Saif al-Qain, keluarga yang mengasuh dan menyusui Ibrahim. Saat Rasulullah melihatnya, baginda terus mendukung Ibrahim dan menciumnya berkali-kali. Sementara itu, Ibrahim sudah dalam keadaan yang lemah, dan tidak lama kemudian, Rasulullah menitiskan air mata. Melihat hal itu, Abdurrahman bin Auf berkata, “Wahai Rasulullah, kenapa engkau menangis?” Baginda menjawab, “Ini adalah air mata kasih sayang.” Rasulullah saw. kemudian berkata, “Mataku boleh mencucurkan air mata, hatiku boleh bersedih, tetapi aku tidak akan berkata kecuali apa yang diredhai Allah. Wahai Ibrahim, kami semua berasa sedih.” (HR Bukhari)

Apa yang dialami Rasulullah saw. menunjukkan bahawa baginda mempunyai kasih sayang dan juga redha. Mata menangis (sebagai tanda kesedihan), tetapi hati tetap redha.

2. Fudhail Bin Iyad

Beliau adalah imam para tabi’in. Beliau mendapat gelaran Aabidil haramain (orang yang ahli ibadah di Tanah Haram), kerana ibadah yang dikerjakannya. Beliau lebih banyak diam, dan kurang senyum. Sifatnya yang kurang senyum ini berlarutan sehingga 30 tahun lamanya. Dan saat puteranya meninggal dunia, beliau tersenyum. Melihat hal ini, ramai yang hairan kepadanya. Mereka berkata, “Sungguh pelik sikapmu, engkau sering kali tersenyum semenjak ditinggal anakmu, padahal dulunya engkau jarang tersenyum. Apa yang terjadi?”

Fudhail menjawab, “Aku rasa gembira atas takdir Allah di setiap waktu. Kerana itulah aku tersenyum untuk membuat hatiku redha.”

Jadi, senyumnya Fudhail merupakan usaha agar redha tertanam dalam hatinya, meskipun anaknya telah tiada.
Para ulama’ membandingkan sikap yang ditampilkan Fudhail dengan apa yang pernah dilakukan Rasulullah saw. Dalam pandangan mereka, Rasulullah telah menyatukan sikap sayang dengan redha, sementara Fudhail belum boleh menyatukan antara duanya. Kerana itulah, beliau tersenyum agar dapat bersikap redha. Dengan demikian, kasih sayang terhadap anaknya tidak sampai menghilangkan keredhaannya kepada Allah Ta’ala. Memang sangat berat untuk menyatukan dua sikap mulia itu: sayang dan redha.

3. Umar Ibnu Khattab

Umar Ibnu Khattab berkata, “Apapun musibah yang menimpaku, aku tetap memuji Allah Ta’ala kerana empat perkara: Pertama, selagi musibah itu tidak menimpa agamaku. Kedua, musibah yang menimpaku tidak lebih besar hebatnya berbanding dengan musibah yang menimpa agamaku. Ketiga, Allah Ta’ala akan memberi balasan syurga bagiku atas musibah yang menimpaku. Dan keempat, aku terkenang musibah yang menimpa Rasulullah.

Sahabatku, mari kita renungkan prinsip yang menjadi pengangan Saidina Umar. Beliau tidak pernah lupa mengucapkan alhamdulillah meskipun musibah menimpanya. Inilah tingkatan redha yang paling tinggi. Pada umumnya, orang yang terkena musibah akan berduka, tetapi yang dilakukan Umar amat berbeza, malah beliau mengucapkan syukur saat musibah menimpanya, selagi yang menimpanya itu berkaitan dengan masalah dunia. Sebesar manapun musibah yang bersifat duniawi itu akan terasa ringan dan remeh jika dibandingkan dengan musibah yang berkaitan dengan agama. Allah Ta’ala akan membalas musibah yang menimpanya dengan syurga. Umar juga teringat dengan musibah yang dialami Rasulullah saw. hingga apapun yang menimpanya akan terasa ringan.

Umar pernah berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah mempedulikan apapun yang menimpa diriku dalam urusan dunia, baik itu sesuatu yang baik ataupun buruk, kelapangan ataupun kesimpitan, kebahagian ataupun kesempitan, kebahagian ataupun kesedihan selagi aku masih menjadi muslim.”

4. Imran Bin Husain

Imran Bin Husain termasuk dalam sahabat Rasulullah saw yang selalu menyertai peperangan. Tetapi, setelah Rasulullah wafat, beliau menghidap penyakit stroke yang menjadikan sebahagian tubuhnya lumpuh. Beliau berada di atas pembaringan selama 30 tahun. Pernahkah kita membayangkan andai kita yang menghadapinya? 30 tahun lamanya di atas pembaringan (seperti katil), sehinggakan beliau membuat lubang di tempat tidurnya untuk buang air kerana beliau tidak boleh bergerak lagi.

Ketika para sahabat menziarahinya, dan mereka melihat keadaanya seperti itu, mereka mengalirkan air mata. Saat Imran bin Husain melihat tangisan para sahabat, beliau berkata, “Kalian menangis kerana sedih melihat penderitaanku, tapi aku redha pada Tuhanku. Aku mencintai apapun yang dicintai Allah Ta’ala, dan aku redha apapun yang diredhaiNya. Aku sangat bahagia dengan pilihan Allah. Demi Allah, dengan keadaanku seperti ini, aku rasakan selalu dikunjungi para malaikat dengan membaca tasbih Allah. Aku tahu bahawa apa yang menimpaku bukanlah hukuman dari Allah Ta’ala, tapi Dia ingin mengujiku, apakah aku redha kepada-Nya. Saksikanlah, bahawa aku redha kepada Allah Ta’ala.

5. Urwah Bin Zubir

Ayah Urwah adalah Zubir bin Awwam, salah satu di antara 10 sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Suatu ketika, Urwah Bin Zubir bersama puteranya pergi menjenguk Amirul Mukminin di Damaskus. Tatkala mereka sampai di sana, puteranya berkata, “Ayah, aku ingin melihat kuda Amirul Mukminin.”

Urwah mengizinkan anaknya lantas berkata, “Turunlah, bermainlah dengan kuda itu!”

Puteranya lalu turun. Tetapi ketika itulah beliau terpijak kuda hingga meninggal. Pada masa yang sama, Urwah merasakan sakit di salah satu kakinya, dan didapati kakinya harus dipotong. Akhirnya, Urwah pun kehilangan salah satu kakinya dan juga kehilangan puteranya. Orang-orang tidak tahu bagaimana mengungkapkan rasa simpati kepadanya. Dua musibah berat yang menimpanya: puteranya meninggal dan kakinya harus dipotong. Orang-orang pun menjenguknya dengan perasaan sedih. Melihat pandangan mereka, Urwah faham bahawa mereka sedih melihat musibah yang menimpanya. Urwah pun berkata, “Ya Allah, bagimu segala pujian. Engkau telah memberiku empat organ tubuh, lalu Engkau mengambilnya satu, dan Engkau tinggalkan tiga. Engkau telah memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau sudah mengambilnya satu dan Engkau tinggalkan enam. Kalau Engkau sudah mengambil dan meninggalkan, maka segala puji bagi-Mu atas apa yang telah Engkau ambil, dan segala puji bagi-Mu atas segala apa yang Engkau tinggalkan.”

Kemudian Urwah berkata pada orang-orang yang menjenguknya, “Saksikanlah, aku redha pada Tuhanku, maka kalian pun harus redha kepada-Nya!”

6. Shafiyah Binti Abdul Mutalib

Beliau adalah saudara perempuan Hamzah bin Abdul Mutalib. Bersama Hamzah, Shafiyah turut serta dalam Perang Uhud. Di tengah peperangan, Hamzah gugur sebagai syahid.

Tatkala Rasulullah saw. mendengar berita perlakuan kaum musyrikin terhadap jasad Hamzah dengan merosak mukanya, membelah perutnya, mengeluarkan jantungnya dan mengunyahnya, Rasulullah menyuruh Zubir Bin Awwam membawa ibunya (Syafiyah) pulang ke Madinah. Baginda khuatir Shafiyah sedih berkepanjangan atas apa yang menimpa Hamzah.

Kemudian, Zubir mendekati ibunya itu, dan memberitahu bahawa Rasulullah menyuruh dirinya membawa pulang ibunya ke Madinah. Shafiyah berkata kepada anaknya, “Anakku, kalian melakuka ini kerana takut aku merasakan sedih berpanjangan melihat apa yang menimpa Hamzah? Anakku, jika dibandingkan dengan nikmat yang telah diberikan Allah, apa yang terjadi pada Hamzah itu tidak ada apa-apapun. Allah sedang menguji kita, melihat kita, apakah kita redha atau tidak? Anakku, ibu redha dengan apa yang menimpa Hamzah.” Zubir pun memberitahukan sikap ibunya kepada Rasulullah saw, lantas Rasulullah bersabda, “Jika demikian, biarkanlah dia!”.

Lalu Shafiyah datang dan berdiri dekat pada mayat Hamzah, sambil mengucapkan Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun(sesungguhnya kita milik Allah, dan kita semua akan kembali kepada-Nya).
Shafiyah lalu solat jenazah jenazah ke atas saudaranya itu sambil menangis.

7. Sa’ad Bin Abi Waqqash

Beliau termasuk salah satu dari 10 orang sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Beliau pejuang besar dalam peperangan Qadisiyah yang menakluk Parsi, dan sahabat yang mustajab doanya. Rasulullah saw. pernah berkata kepadanya, “Wahai Sa’ad, panahlah!” bersamaan dengan itu, Rasulullah saw berdoa, “Ya Allah, tepatkanlah sasaran anak panahnya, dan kabulkanlah doanya.”

Dengan doa Rasulullah inilah, sehingga doa-doa yang dipanjatkannya dikabulkan oleh Allah swt. Di manapun beliau berada, orang-orang mengerumuninya, memintanya agar mendoakan mereka. Lalu dia mendoakan mereka dan doanya dikabulkan oleh Allah Ta’ala.

Di akhir saat kehidupannya, Saad menjadi buta. Pada suatu hari, ada seorang pemuda yang menemuinya dan berkata, “Wahai Saad, matamu sekarang buta, sedangkan doamu mustajab. Berdoalah kepada Allah supaya penglihatanmu dikembalikan!.”

Saad menjawab, “Ketetapan Allah lebih aku cintai daripada mataku. Patutkah aku tidak redha terhadap apa yang Allah redha untukku? Demi Allah ! Aku tidak mahu berdoa dan meminta kesembuhan mataku.”

Sikap yang dimiliki Sa’ad bin Abi Waqqash ini hanya boleh dimiliki oleh orang-orang yang dekat dengan Allah.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah redha terhadap Tuhan kita?

8. Abdullah Bin Mas’ud

Pada satu hari, tiga orang tabi’in, yakni asy-Sya’abi, Sa’id Bin Musayyab, dan Abdullah Bin Mas’ud sedang berehat bersama. Salah seorang daripada mereka berdoa, “Ya Allah, Aku memohon pada-Mu untuk mencabut nyawaku dalam waktu terdekat.”

Mendengar hal itu, maka bertanyalah yang lain, “Kenapa engkau berdoa seperti itu?”

“Kerana terlalu banyak godaan. Aku takut diriku terjerumus pada godaan itu.” Jawabnya.

Tabi’in yang kedua pula berdoa, “Ya Allah, panjangkanlah umurku!”

“Kenapa negkau berdoa demikian?” tanya yang lain.

“Aku berharap, semoga di suatu hari nanti, aku mendapat kesempatan untuk beribadah yang membuatkan Allah meredhaiku.”jawabnya.

Dan saat giliran Abdullah Bin Mas’ud, beliau berdoa, “Ya Allah, Aku tidak akan memilih untuk diriku. Pilihkanlah untukku sekehendak-Mu! Apapun yang Engkau pilih untukku, itulah yang terbaik, “

“Engkau adalah orang yang terbaik daripada kami,” kata dua orang yang berdoa sebelumnya.

Abdullah Bin Mas’ud berkata, “Selama 40 tahun, apapun yang Allah berikan padaku, aku redha. Demi Allah, aku tidak pernah menangisi apa pun yang menimpaku di dunia ini. Aku hanya menangisi hilangnya agama.”

Semoga Allah menanamkan keredhaan dalam hati kita, Amin!

9. Antara Kita Dan Mereka

Mungkinkah engkau merasa bahagia, sementara hidup ini adalah derita,
Mungkinkah engkau pasrah, sementara yang lain marah,
Jika cintamu sejati, apapun akan terasa ringan,
Kerana apapun yang di atas tanah, asalnya tetap tanah.

Sebolehnya kita mencuba untuk melakukan sebagaimana contoh-contoh di atas, supaya kita tahu, adalah kita sudah redha pada Allah ataupun belum?

Ya Allah, kami memohon kepadamu keredhaan setelah datangnya ketetapan-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Semoga kita selalu redha kepada Allah hingga Allah meredhai kita, sehingga kita mendengar panggilan-Nya di hari kiamat kelak,

“Wahai si fulan, Aku redha padamu, maka berjalanlah dan masuklah ke dalam syurga-Ku!”.