Thursday, June 18, 2009

Israel selamanya tidak berminat untuk berdamai

Sudah Terang Lagi Bersuluh 
– Netanyahu tidak berminat untuk mencari jalan perdamaian 


Kenyataan dari PACE – Palestinian Centre of Excellence 

Ucapan Benjamin Netanyahu di Universiti Bar-Ilan menggambar polisi regim Zionis terhadap isu Palestin. Ia dengan jelas menggariskan dasar-dasar Israel yang tidak pernah berubah sejak entiti haram itu rasmi berdiri pada tahun 1948. Sejak dari hari pertama, agenda pendukong ideologi Zionis ialah untuk mendirikan sebuah Negara Yahudi dengan mengusir dan menafikan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka sendiri. Netanyahu tanpa berselindung meletakkan pengiktirafan penuh Palestin dan Negara-negara Arab ke atas entiti Zionis sebagai Negara Yahudi sebagai syarat untuk mengakui kewujudan Negara Palestin. Kenyataan ini lagak seorang ketua mafia yang tidak memberi pilihan langsung kepada mangsa peras ugutnya supaya tunduk kepada semua kehendak-kehendak jahatnya. 

Apakah implikasi kepada kenyataan Netanyahu apabila menuntut Palestin mengakui Israel sebagai Negara Yahudi. Ia hanya membawa satu tafsiran sahaja iaitu orang lain tidak punya tempat dan tidak punya hak ke atas bumi Palestin samada yang dirampas Israel pada tahun 1948 atau wilayah yang diduduki sehingga kini sejak tahun 1967. Jika adapun ruang bermastautin untuk mereka maka mereka adalah warga kelas kedua yang akan terus dinafikan pelbagai hak termasuklah hak untuk bergerak bebas tanpa sebarang sekatan seperti yang berlaku kepada penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur. Pengakuan Israel sebagai Negara Yahudi juga bererti merestui penempatan-penempat an haram pendatang Yahudi yang berselerak kini di Tebing Barat dan mengakui hak mereka untuk terus menceroboh tanah milik penduduk Palestin untuk memperbesarkan lagi penempatan-penempat an tersebut. Kini kita sedang menyaksikan pembinaan puluhan ribu unit-unit apartmen untuk penduduk Yahudi sedang rancak di bina di persekitaran Baitul Maqdis dan Kota Lama (Tanah Suci umat Islam yang menempatkan Masjid al Aqsa) untuk melengkapkan agenda pengyahudian entiti haram Zionis.  

Netanyahu terus menguji pendirian masyarakat antarabangsa apabila menegaskan isu pelarian Palestin harus diselesaikan di luar batas Negara Israel. Kenyataan ini secara terang-terangan mencabar kewibawaan Bangsa-bangsa Bersatu yang telahpun meluluskan Resolusi PBB 194 (III) yang memberi hak kepada rakyat Palestin yang terusir dari wilayah Palestin kembali ke tanah air mereka. Resolusi ini bukan sahaja diketepikan begitu sahaja bahkan Netanyahu memberi gambaran seolah-olah ia tidak pernah wujud. Inilah sikap yang diwarisi oleh pendukung-pendukung Zionis sejak dahulu yang tidak pernah berubah. Ia adalah ibarat agama yang dipegang kukuh oleh penganut-penganutny a tanpa ada sedikit ruang pun untuk bertolak ansur. Golda Meir yang pernah menjadi Perdana Menteri Israel yang ketiga pernah mengungkapkan bahawa ‘Kami tidak mengambil hak rakyat Palestin, sebaliknya rakyat Palestin tidak pernah wujud’. Keangkuhan inilah yang kini diulang kembali oleh waris ideology zionis seperti Netanyahu pada hari ini. 

Netanyahu cuba berselidung di atas nama agama Yahudi apabila mengatakan Israel adalah bumi yang diwariskan kepada mereka oleh Tuhan sejak 3,500 tahun yang lalu. Apakah beliau menyangka masyarakat antarabangsa boleh dibohongi begitu sahaja dengan fakta sejarah yang palsu? Di manakah bangsa Yahudi ketika bumi Palestin dihuni oleh pelbagai bangsa seperti Kanaan (yang merupakan nenek-moyang kepada orang Palestin pada hari ini), bangsa Phonecian, bangsa Filistin dan lain-lain yang sudah membangunkan tamadun di sana sejak 6,000 tahun yang lalu jauh sebelum Nabi Ibrahim AS, bapa kepada kaum semitik (Yahudi dan Arab) berhijrah ke sana dari Mesopotamia (Iraq). Jelas cubaan untuk menggunakan fakta sejarah yang diselewengkan hanya satu langkah terdesak pendukong ideologi Zionis. Bahkan kelompok Yahudi tulen yang obejktif dan bergerak di dalam sebuah Pertubuhan Naturikarta membidas semua dakwaan palsu golongan zionis ke atas bumi Palestin atas nama agama Yahudi. Mereka sama sekali menolak untuk dikaitkan dengan pemalsuan golongan zionis ke atas sejarah bumi Palestin. Bagi mereka agama Yahudi sendiri tidak merestui pembohongan kelompok zionis menwajarkan pendudukan dan penindasan yang mereka lakukan ke atas rakyat Palestin. 

Ucapan Netanyahu adalah satu maklum balas kepada ucapan 'perdamaian’ Obama di Kaherah. Obama menekankan betapa perlu regim zionis menghormati keputusan-keputusan yang telah disepakati terutama di dalam membekukan aktiviti pembinaan penemapatn Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki. Netanyahu menyampaikan satu ’message’ jelas kepada Obama yang cuba mencari sedikit sokongan dari rakyat Palestin, dunia Arab dan masyarakat Islam antarabangsa, iaitu ’jika Palestin hendak wujud ia harus bersedia untuk terus hidup dalam penindasan dan penafian hak di negara mereka sendiri. Mereka harus bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai sekatan yang menyekat kebebasan bergerak samada oleh pos kawalan tentera, pemeriksaan keselamatan, tembok pemisahan atau kepungan. Bahkan mereka harus bersedia untuk hidup sebagai warga kelas kedua yang bukan sahaja tidak mendapat hak yang sama dengan rakyat Israel bahkan tidak punya sebarang kedaulatan dan harga diri sebagaimana yang sewajarnya dimiliki oleh semua negara yang bebas dan merdeka. 

Netanyahu juga tidak lupa mengunci sebarang peluang untuk rundingan apabila meletakkan syarat mustahil iaitu negara Palestin yang bakal wujud mesti tidak boleh membangunkan kemampuan pertahanannya (demilitarized) . Negara berdaulat yang semacam apakah yang tidak dibenarkan untuk membina kemampuan pertahanannya sendiri? Bukankah aspek keselamatan dan pertahanan adalah elemen paling penting di dalam menjamin kedaulatan sebuah negara? Sudah terang lagi bersuluh, Netanyahu meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah untuk mewujudkan sebarang jalan menuju perdamaian di Palestin.  

Masyarakat antarabangsa seharusnya mendapat mesej yang jelas dari ucapan Netanyahu. Netanyahu tidak memberi sebarang pilihan lain kepada dunia melainkan dengan mengenakan tekanan antarabangsa yang berterusan agar Israel menghormati Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, melaksanakan semua Resolusi PBB berkaitan hak rakyat Palestin yang sudah lama tertangguh, menghentikan pelanggaran menyolok mata ke atas Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, menghentikan kepungan ke atas Gaza yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva yang ke 4 (1949), mengosongkan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur dan keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 seperti yang digariskan dalam Resolusi 242 dan 338 serta menghentikan pembinaan tembok pemisah dan merobohkannya sesuai dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague. Jika satu gerakan global dapat dijana ke atas inisiatif-inisiatif ini maka tidak mustahil regim Zionis Israel akan tamat riwayatnya sebagaimana Regim Apartheid Afrika Selatan berakhir akibat dari tekanan antarabangsa yang berterusan. 

Dr Hafidzi Mohd Noor 
Pengarah 
Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) 
16 Jun 2009

Komen: Tidak mungkin bagi warga Palestin yang terjajah mengiktiraf penjajah sekaligus identiti haram Israel. Lawan tetap lawan. Biar putih tulang, jangan putih mata.

Wednesday, June 17, 2009

Bersama-samalah kita membaiki diri kita

Bersama-samalah kita membaiki diri kita sebelum kita pulang bertemu Maha Pencipta. Kenapa membaiki diri? Kerana kita bukanlah sempurna. Ruang masih terbuka untuk membaiki diri selagi masih hidup.

Terutama dalam mendidik jiwa kita supaya kita mentaati perintah Allah dalam hidup ini mengikut cara Rasulullah s.a.w.

Ayah meninggalkan kami dengan DUA amalan untuk ikutan...

Salam wahai sahabat

Terima kasih dan jazakumullahu khairan kepada semua sahabat yang bersusah-payah menunaikan solat ghaib, berdoa dari jauh, menelefon dan/atau mengirimkan sms mengucapkan takziah serta menziarahi jenazah ayah bila ayah kami berpulang ke Rahmatullah jam 2 pagi Khamis 11/6/09 dan di semadikan di perkuburan di kampung kami selepas solat Zohor.

Ayah berusia 86 tahun meninggalkan emak setelah 62 tahun hidup bersama, dan 13 orang anak (termasuk 2 kembar lelaki yang meninggal sewaktu bayi), ramai cucu dan cicit (berapa? maaf, tak sempat semak buku daftar...).

Ayah telah pergi bertemu Allah dengan meninggalkan sekurang2nya DUA amalan sebagai kenangan sekaligus cabaran untuk kita:

1. Beristiqamah dengan solat berjemaah di masjid. 
Hujung2 usianya ayah masih berjalan bertongkat ke masjid walaupun langkahnya menjadi pendek dan lambat. Untuk itu ayah terpaksa pergi lebih awal ke masjid. Ayah kata ayah akan pergi ke masjid selagi berupaya. Taqdirnya ayah melayah hendak rebah di masjid sewaktu solat Maghrib. Ayah di bawa jemaah ke rumah selepas Isyak, besoknya demam dan tak lalu makan dan minum. Adik-adik telah buat keputusan cepat. Ayah di beri drip di hospital. Tapi ayah semakin uzur (maksudnya terlantar di katil) walaupun masih boleh bercakap dan masih kenal orang yang datang menziarahinya…

2. Berzikir La-ilaha-ilallah sampai ke hujung usia. 
Sampai adik terpaksa memberitahu ayah supaya berzikir dalam hati apabila berzikir jahar perlahan meletihkan ayah. Sebelum itu ayah mengikut perlahan-lahan kakak, abang2, adik2 membaca surah Yasin. Bila selesai, ayah mengangkat kedua2 tangannya mengaminkan doa.

Ya Allah, terimalah & tempatkan ayah kami di tempat yang mulia
Tempat di sisiMu yang dijanjikan nikmat untuk hambaMu

Sedih rasa hati ini mengenangkan ayah
Bagai semalam ayah bersama kami
Tapi kami yakin kasih sayangMu penuh dan tiada bertepi 

Moga sejahteralah dan bahagia ayah di sana
Moga di sana ayah bersama para solihin
Ya Allah, jadikan kami anak soleh yang selalu mendoakan kesejahteraan ayah di sana

Allahummaghfirlahu War-hamhu Wa ‘afihi Wa’ fu‘anhu

Allahummaghfirli waliwalidaiya wal mukminin wal mukminat.

Bagi kita yang masih tinggal:

            Teruskan berdakwah untuk memenangkan Islam di mana saja

Di samping itu semoga kita bersama-sama

           Beristiqamah dengan solat berjemaah di masjid &

           Berzikir La-ilaha-ilallah sampai ke hujung usia…

Semoga Allah memudahkan urusan hidup kita dunia dan akhirat.