Friday, August 29, 2008

Merdekakah Aku?

Dulu
Merdeka bermula dari hati
Hatiku merdeka menghalau penjajah
Kini
Apa benar negaraku sudah merdeka?
Apakah benar aku sudah merdeka?
Kerana hatiku terjajah semula
Aku dan penjajah
Rupanya berkongsi hati
Kerana
Selama ini penguasa belot
Alpa dengan isi kita

Akademi Nasyid : Ke Arah Mana?

Sejuk hati bila melihat juri yang bersopan memberikan komen terhadap peserta dan penonton yang juga bersopan. Tapi banyak soalan timbul bila menonton Akademi Nasyid di TV9. Lebih kurang sebulan dulu bila Akademi Nasyid telah menjemput beberapa penyanyi tersohor mempersembahkan nyanyian mereka di hadapan penonton hati kami sekeluarga tertanya kenapa? Kemudian bila hujung-hujung, ramai peserta yang kalah telah di ambil semula. Kami tertanya-tanya. Kemudian peserta-peserta yang akan ke peringkat akhir datang bersama-sama penghibur idola mereka. Malam itu (minggu sudah) peserta-peserta Akademi Nasyid nampaknya seronok kerana bersama penyanyi idola mereka. Kami tertanya-tanya lagi.

Seperti kita tahu, Akademi Bola di wujudkan untuk melatih pemain bola profesional. Tujuan Akademi Badminton pula ialah untuk keluarkan pemain badminton profesional. Sementara Akademi Fantasia (AF) ialah sebuah rancangan realiti televisyen yang pertama di Malaysia yang mana peserta yang disebut sebagai pelajar akan bersaing untuk mendapatkan gelaran juara dan berpeluang memulakan karier dalam industri hiburan iaitu menjadi penyanyi profesional.

Secara ringkasnya tujuan Akademi Nasyid untuk menghasilkan penasyid profesional. Pelik tapi benar dan SEDIH apabila KEBANYAKAN pelajar Akademi Nasyid masing-masing mempunyai idola hiburan mereka iaitu PENYANYI bukan penasyid-penasyid seperti yang kita sedia maklum. Setakat ini Radio IKIM membuka ruang luas untuk nasyid berkembang. Kita juga tidak mahu Radio IKIM di penuhi lagu dari PENYANYI idola penasyid-penasyid tadi.

Akademi Nasyid seolah-olah hilang arah dan sudi memberikan ruang untuk PENYANYI padahal mereka ada dunia tersendiri. Kita yang lebih selesa mendengar nasyid yang membentuk kesedaran pun tidak perlukan PENYANYI-PENYANYI untuk mewarnai dunia nasyid untuk mempengaruhi anak muda kita. Bukankah ramai penasyid-penasyid yang terdapat di seluruh dunia yang boleh di jadikan contoh ikutan pelajar (penasyid baru). Eloklah mengambil yang elok dari yang sudah tersedia elok supaya kita menjadi semakin elok.

Walaupun begitu perlu ingat menjadi penasyid bermakna sudah berada di tepi dunia hiburan. Di sebut di tepi kerana dunia hiburan biasanya penuh dengan maksiat. Kalau tak berhati-hati, kita akan terjatuh ke dalam perangkap yang menelan ramai kerana mencari kehebatan dan kegemerlapan dunia tanpa panduan agama. Tanpa latihan pun kita boleh jadi hebat. Inikan pula dilatih hebat oleh sifu yang hebat.

Oleh itu penasyid selama-lamanya perlu rapat dengan agama iaitu mengamalkan agama dengan ikhlas. Ikutilah kelas pengajian agama dan program yang membolehkan diri sayang kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Tanpa agama nasyid sudah tidak ada maknanya. Nasyid yang di dendangkan hanya menjadi halua telinga, tidak menyerap ke dalam hati pendengar kalau penasyidnya hidup bercelaru macam penyanyi. Penasyid mesti menjadi agen perubahan dalam mesyarakat untuk mendekatkan hati pendengar dan peminat kepada mencintai dan memperjuangkan agama dan kebenaran. Maaf cakap, kalau tidak, lebih baik undur kerana hidup kita ini adalah real yang akan di soal di akhirat. Hidup ini BUKAN lakonan.

Thursday, August 21, 2008

Peringatan Untuk Sayang

Kini sayang akan berhijrah @ berkelana @ merantau mencari ilmu sebagai persiapan di hari muka jauh dari ayahanda, ummi dan adik-adik. Di bawah ini adalah sepuluh peringatan asas untuk sayang menempuhi dan menjalani hidup di tempat baru:

1. Ingat Allah di mana saja.
2. Jaga solat berjamaah.
3. Baca satu hari satu hadith idola kita, Rasulullah s.a.w.
4. Sentiasa menolong orang.
5. Sentiasa menolong agama Allah.
6. Baca Quran minimum 1 kali sehari.
7. Jangan main betina. Jodoh kerja Allah.
8. Tidur selewat-lewatnya jam 12.00 tengah malam.
9. Jangan keluar malam kecuali kerana agama.
10. Pilih kawan.

Ingatlah bahawa peluang menjadi pelajar di IPT bukan selalu datang. Janganlah masa pelajarmu di bazirkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah terutama dari aspek agama kita.

Anggaplah dirimu dalam perlumbaan lari jarak jauh @ marathon Olimpik yang semakin hampir ke garisan penamat. Sayang telah memulakannya sejak di tadika dulu. Berikan segala yang terbaik untuk kejayaan diri di hari muka. Sayang hanya akan berjaya sekiranya sayang memberikan tumpuanmu terhadap pelajaran.

Selama ini ayahanda dan ummi telah berusaha sedapat mungkin menunjukkan asas jalan untuk mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan di sini (iaitu dunia yang sementara ini) dan di sana (akhirat yang kekal nanti). Sebagai satu penerusan, silalah mendisiplin diri untuk mengikuti program agama yang bermanfaat secara istiqamah untuk menambahbaik pengetahuan dan amalan sayang terhadap cara hidup kita, Islam, iaitu SATU-SATUNYA agama yang di redhai Allah, Pencipta Alam Semesta. Teruskan usaha membantu ummat. Dimana jua carilah keredaan Allah. Hiasilah diri dengan dengan akhlak Rasulullah s.a.w.

Friday, August 01, 2008

Gosok gigi waktu malam kalau mahu gigi tahan

Seorang kawan rapat baru-baru ini telah bertemu dan berbual dengan seorang pakcik yang berusia 80 tahun. Tapi giginya masih mantap, tiada yang gugur.

Beliau telah menceritakan amalan yang beliau laksanakan selama ini: Amalkan menggosok gigi pada malam hari. Beliau tidak menggosok giginya pada siang hari.

Sampaikanlah kepada generasi akan datang supaya memiliki gigi yang tahan lama.