memperkatakan mengenai jiwa kita yang merdeka supaya terus dan tetap merdeka :: dealing on the freedom of mind & soul so that they will be free forever
Wednesday, May 30, 2007
Kita Membayar Terlalu Mahal Untuk Merdeka
Merdeka: Suka, Duka dan Harapan Umat
Kedamaian Kepulauan Melayu menjadi tercemar akibat di jajah oleh Portugis, Belanda dan akhirnya oleh Inggeris. Sayangnya selepas bebas merdeka dari penjajah terakhir, kita semakin taksub kepada negara sendiri. Maklumlah baru dapat negara sendiri. Kita sibuk menjaga negara kita, menjaga sempadan kita. Kata negarawan bahawa bahawa kemerdekaan negara Malaya diperolehi diatas dulang emas dari penjajah Inggeris. Betulkah kata-kata ini?
Menerimanya bererti seolah-olah menafikan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Seolah-olah kita tidak menerima perjuangan revolusi menuntut kemerdekaan seperti berlaku di tempat lain, umpamanya di negara jiran Indonesia melawan penjajah Belanda, dan negara Algeria yang di gelar ‘Negara 1 Juta Syahid’ kerana melawan penjajah Perancis. Bagaimana perjuangan membebaskan Afghanistan dari Russia dulu dan dari Amerika dan sekutunya sekarang? Atau perjuangan membebaskan Iraq dari cengkaman Amerika dan sekutunya sekarang? Begitu juga perjuangan membebaskan Chechnya dari cengkaman Russia kini? Jangan menafikan pejuangan kemerdekaan orang lain semata-mata kerana mereka tidak mengikut seperti kita.
Ulama juga telah berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran untuk merdeka. Perjuangan kemerdekaan bukan bermula dengan penubuhan UMNO (Asal) dalam 1946. Tetapi perjuangan kemerdekaan bermula lama sebelum itu. Apakah kita tidak sedar ketika Portugis menyerang dan menjajah Melaka, berapa banyak pemimpin dan rakyat biasa yang sanggup mati melawan orang kafir putih di atas nama jihad. Bukan sahaja orang Tanah Melayu tapi dari tetangga se agama yang turut datang membantu, contohnya dari Sumatera, Acheh, Kalimantan, Jawa dan lain-lain lagi. Begitu juga bila Belanda menjajah Melaka. Rupa-rupanya darat dan laut Melaka pernah penuh darah pejuang.
Kemudian Datuk Maharajalela di Perak; Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang; Tok Janggut di Kelantan; Haji Abdur Rahman Limbong di Terengganu; Dato’ Dol Said di Negeri Sembilan; Rosli Dhobi di Sarawak, Panglima Mat Salleh di Sabah dan ramai lagi, yang bangkit melawan kuasa penjajah Inggeris. Ini tidak pula menafikan perjuangan Rentap di Sarawak. Ini membuktikan darah pejuang merdeka pernah mengalir untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah.
Ini di ikuti dengan sekadar contoh Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Abu Bakar Bakir. Mereka bersusah-payah memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin. Hatta Parti Komunis Malaya (PKM) pun, perlu juga di sebut di sini sebagai dari sudut diskusi cendiakawan terpaksa kita terima, bahawa pada awal ditubuhkan juga bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan tetapi kemudiannya tersesat atau hilang punca.
Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan ini tidak mahu bekerjasama dan menentang habis-habisan pihak penjajah, maka mereka ditekan oleh British. Sebaliknya, UMNO, MCA dan MIC (sebenarnya mula-mula MIC memihak kepada golongan kiri) sanggup bekerjasama dan berkompromi dengan pihak penjajah. Maka itulah Inggeris merasa lebih senang dan selamat untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan (yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC) yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman (S. Husin Ali, 2005). Keluarlah penjajah dengan gembira kerana telah meninggalkan kekuasaan negara kita di bawah anak didik mereka yang "Indian in blood and colour, but English in taste, in opinions, in morals, and in intellect" (hanya berdarah India dan berkulit hitam tapi cita rasa, pandangan, moral and kecerdikan laksana orang Inggeris) walaupun tidak pernah belajar di seberang laut.
Sebenarnya kita orang Melayu Islam terpaksa membayar harga yang terlalu mahal untuk mencapai kemerdekaan negara ini. Kita terpaksa berkongsi everything hatta kekuasaan dengan bangsa-bangsa lain yang sengaja di bawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk kepentingan ekonomi mereka. Negara kita sebuah negara yang unik (tapi sedih) kerana telah menjadi satu-satunya negara di dalam dunia, di mana bangsa (etnik) yang berbeza berkongsi hampir segalanya. Keistimewaan yang di berikan kepada orang Melayu oleh Perlembagaan Malaysia yang telah di persetujui bersama semasa kemerdekaan itu pun mula di persoalkan oleh orang bukan Melayu. Kalaulah perunding kita dulu sewaktu berunding kemerdekaan dengan penjajah Inggeris bukannya UMNO, sudah tentu sejarah kita berbeza...
Lama-lama selepas merdeka kita terlupa kita ada perjuangan kita berteraskan ajaran Rasulullah s.a.w. Rupanya kita melupakan kehebatan dan keagungan Islam yang melepasi sempadan negara bangsa.
Mahu tak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa UMNO yang memimpin negara ini semenjak merdeka menyebabkan semangat jihad kita mempertahankan Islam dan umat semakin menurun. Minda orang Melayu telah berjaya dicanai dan dibentuk menurut dan taat pada kemahuan dan kehendak UMNO/ BN dengan meninggalkan Kebenaran. Pemimpin-pemimpin UMNOlah yang selama ini bertanggungjawab, melalui pelbagai program, mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah. Sebagai gantinya kita rata-rata terpesona dengan dunia yang akan pasti di tinggalkan sehinggakan ada yang sanggup mati kerananya.
Sehingga ke hari ini, UMNO mengajar orang Melayu secara tidak langsung kalau hendak senang terpaksa masuklah UMNO. Banyak peluang terbuka, sekadar contoh: rumah murah, kontraktor mendapat projek, pengagihan baja dan projek pertanian, dsbnya walaupun sebelum ini tertutup rapat kerana ‘dia bukan orang kita’. UMNO juga mengajar kaum lain, terutama China dan India supaya rapat dengan orang politik UMNO. UMNO di lihat sebagai lambang kuasa yang dapat di gunakan untuk mengaut kekayaan dan harta dengan cara yang tidak benar.
Hujungnya sifat ini yang di tanam ini sejak dari merdeka rupanya menikam diri sendiri dan membawa kepada masalah yang membarah. Kajian mutakhir mendapati secara purata 85 peratus projek yang dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera pada tahun 2006 mengalir (tiris, bocor atau bolos?) kepada kaum lain. Umumnya melihat kontraktor bumiputera sebagai hebat, terutama yang mempunyai hubungan dengan UMNO, sebagai orang kaya, tetapi sebenarnya cuma mendapat sedikit kuah tetapi towkey yang mendapat isi dan kuah yang sebenarnya di belakang mereka. Siapa yang sebenarnya menjadi lembu?
Tanpa kita mempersoalkan bahawa kebanyakan pemimpin generasi awal memang sayangkan bangsa. Mereka tidak punya masa untuk membuat harta dan kekayaan kerana sibuk membangunkan negara yang baru merdeka walaupun mereka berada di ambang kuasa. Tetapi ada di antara mereka telah meninggalkan anak-anak dan kerabat yang menyambung titisan “perjuangan ayahnya” kerana wujud peluang untuk menjadi kepemimpinan UMNO (di baca: membuat harta dan kekayaan atas nama perjuangan Melayu). Pada hal belum pernah teruji dengan semangat cintakan negara dan sayangkan bangsa selain daripada pekikan “Hidup Melayu” dan se umpamanya dalam upacara tertentu untuk di kutip oleh media massa.
Sebenarnya tidak terlalu susah untuk melihat kesalahan UMNO terhadap perjuangan bangsa dan agama kerana selama ini UMNO di ambang kuasa sejak Malaysia merdeka. Sila semak berita akhbar, laporan PDRM, BPR, SUHAKAM, buku-buku yang banyak ditulis (Jenayah Akademik UMNO, dll) dan penulisan di dalam internet atau siasat sendiri. Sikap yang perlu ada ialah: apa (subjek) yang di tulis dan di semak kepastiannya, dan bukan siapa yang menulis.
Kerana itu, siapa yang benar-benar sayangkan negara Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam tidak wajar sama sekali menyokong UMNO kini dan selamanya. Cukuplah menyokongnya dulu kerana kita mungkin memang tidak tahu. Tapi kini maklumat ada di mana-mana. Kini masanya untuk kita berubah untuk menyelamatkan umat. Perjuangan hanya berdasarkan bangsa seperti di tunjukkan oleh UMNO menyebabkan rakyat Melayu hilang keperkasaannya.
KEARAH DUNIA ADIL & SEJAHTERA
Rujukan:
1. Jazakallahu khairon kepada blog Penjejak Badai kerana cetusan idea.
2. S. Husin Ali. (2005). Hormati Semua Pejuang Kemerdekaan. www.malaysia-today.net/guest-columnists/2005/09/hormati-semua-pejuang-kemerdekaan.html
3. Tarmizi Mohd Jam. (2007). Melayu 'Mati Pucuk' Kerana UMNO Berlagak Pejuang Bangsa
http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=7033&Itemid=50
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment