Petikan dari Khutbah 2: Rukun dan Syarat Taubat Nasuha, dari buku Khutbah Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi, terbitan tahun 2002 oleh As-Syabab Media, Bangi, muka surat 65:
Ada di kalangan manusia yang mati sedangkan dosa mereka tidak mati bersama. Alangkah ruginya mereka yang mempunyai dosa seperti itu. Beruntunglah bagi orang yang mati dan dosanya juga turut mati. Celakalah bagi mereka yang mati sedangkan dosa-dosanya terus berlaku.
Lihatlah kepada pelakon dan penerbit filem, drama-drama, nyanyian-nyanyian dan buku-buku yang penuh dengan kekufuran dan kesesatan. Tuan punya filem, drama dan buku seperti ini telah mati tetapi benda-benda tersebut terus memainkan peranannya menyesatkan manusia samada individu atau masyarakat. Ini adalah satu yang bahaya. Oleh itu orang yang melakukan kerja-kerja seperti itu perlulah cepat dan segera bertaubat sebelum perkara menjadi bahaya.
Komen : Sudah tentu termasuk juga pengarahnya serta seluruh warga kerjanya yang memungkinkan menghasilkan filem, foto atau video yang merosakkan pemikiran dan budaya masyarakat berakhlak. Begitu juga artikel, cerpen, majalah yang lucah dan cabul. Kita bersusah-payah menghabiskan masa, tenaga, pemikiran dan kerana mungkin untuk mendapatkan nama atau ganjaran berkilo wang tetapi menghasilkan dosa yang berterusan walaupun kita telah sudah mati.
Tentu lebih baik kita berlumba-lumba untuk menghasilkan pahala yang berterusan. Untuk mengetahui, sila bertanya kepada experts (ulama). Asasnya telah di berikan oleh hadith Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya).
No comments:
Post a Comment