Monday, September 22, 2008

Pemerintah Mesti Sayangkan Rakyat dan Tidak Menipu Rakyat

Dalam bukunya Riadhus Shalihin, Imam Nawawi (631 - 676 Hijrah) telah meletakkan bab Perintah Kepada Pemerintah Supaya Sayang dan Lunak kepada Rakyat dan Larangan Menipu Rakyat atau Mengabaikan Rakyat dan Hajat Keperluan Mereka yang terdiri dari nas berupa ayat-ayat Quran dan Hadith-hadith Nabi untuk kita manfaatkan.

Seterusnya di ambil terus dari buku tersebut:

Maksud Firman Allah: Dan rendahkan sikapmu terhadap pengikutmu dari kaum mukmin (Asy-Syu’a-ra: 215).

Maksud Firman Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat baik dan membantu sanak kerabat, dan mencegah dari kekejian dan mungkar dan aniaya (melampau batas). Alah menasihati kamu supaya kamu ingat (An-Nahl: 90).

1. Ibnu Umar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu sekelian pemimpin dan kamu akan ditanya dari hal rakyat yang dipimpinnya. Pemimpin akan ditanya dari hal rakyat yang dipimpinnya. Suami akan ditanya hal keluarga yang dipimpinnya. Isteri memelihara rumah tangga suaminya dan akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan (pembantu/orang gaji/pekerja) memelihara milik majikannya dan akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan-jawab) dari hal rakyat yang dipimpinnya. (HR Bukhari & Muslim).

2. Abu Ya’la iaitu Ma’qil bin Yasar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada seseorang yang oleh Allah memimpin rakyat , kemudian ketika mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga. (HR Bukhari & Muslim).

Dalam lain riwayat:
Kemudian tidak di awasi dengan nasihat-nasihat yang baik, maka tidak akan mendapat harumnya syurga.

Dalam riwayat Muslim:
Tiada seorang amir (ketua) yang mengawasi urusan kaum muslimin, kemudian tiada bersungguh-sungguh menasihati dan memperhatikan hajat mereka, melainkan tidak akan masuk syurga bersama mereka.


3. ‘A-isyah r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. di rumahku ini: Ya Allah siapa yang menguasai sesuatu dari urusan ummatku, lalu mempersukar pada mereka, maka persukarlah baginya. Dan siapa yang mengurusi umatku lalu berlemah-lembut pada mereka, maka permudahlah baginya. (HR Muslim).

4. Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Dahulu Bani Israil selalu di pimpin oleh Nabi, tiap mati seorang Nabi digantikan oleh Nabi lainnya, dan sesudah aku ini tidak ada Nabi, dan akan terangkat sepeninggalanku beberapa Khalifah, bahkan akan bertambah banyak. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah apakah pesanmu kepada kami? Jawab Nabi: Tepatilah bai’atmu pada yang pertama, dan berikan kepada mereka haknya, dan mohonlah kepada Allah bahagianmu, maka Allah menanya mereka dari hal apa yang di amanatkan dalam memelihara hambaNya. (HR Bukhari & Muslim).

5. ‘A-idz bin Amru r.a ketika ia masuk kepada Ubaidillah bin Ziyad berkata: Hai anakku saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya sejahat-jahat pemerintah iaitu yang kejam, maka janganlah kau tergolong daripada mereka. (HR Bukhari & Muslim).

6. Abu Maryam iaitu Al-Azdi r.a berkata kepada Muawiyah: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang diserahi oleh Allah mengatur kepentingan kaum muslimin, kemudian ia dari hajat kepentinga mereka, maka Allah akan menolak hajat kepentingan dan keperluannya pada hari kiamat. Maka kemudian Muawiyah mengangkat seorang untuk melayan segala hajat keperluan orang-orang (rakyat). (HR Abu Dawud & Attirmizi).

Komen Ringkas: Jelas bahawa pemimpin wujud kerana kehadiran rakyat. Dalam konteks negara kita, pemimpin nombor satu negara ialah Perdana Menteri. Kemudian di ikuti menteri-menteri. Di negeri pula ada Menteri Besar atau Ketua Menteri dan semua exconya. Apa yang di berikan di dalam kitab muktabar itu mudah di fahami oleh pemimpin dan rakyat. Oleh itu pemimpin mesti prihatin terhadap rakyat, tidak boleh menipu rakyat dan tidak boleh mengabaikan keperluan rakyat.

Pengalaman melihat BN/UMNO mengambil untung melalui politik. Rakyat sudah jelak dengan bermacam janji di taburkan semasa berkempen tapi bila sudah menang pilihan raya dan memerintah sibuk dengan agenda peribadi untuk mengaut kekayaan negara secara tidak sah untuk diri dan keluarga sendiri, kerabat dan kroni serta untuk menjamin penerusan kekuasaannya.

Pepatah Cina menyatakan ikan busuk bermula dari kepalanya. Di lihat dari mana sudut pun nampaknya pepatah ini betul: Pemimpin yang busuk akan memastikan pimpinan di bawah sama-sama busuk. Pemimpin peringkat bawah yang mula hendak busuk akan melantik ketua yang sudah busuk. Pemimpin yang sudah busuk pula akan melantik ketua yang sama busuk atau mula busuk.

Tiba-tiba sekarang di wujudkan pelan peralihan kuasa yang bermakna kepemimpinan negara menjadi hak yg di warisi oleh orang tertentu dan di agihkan atau di faraidkan sesama sendiri. Bayangkan keadaan negara yang di pimpin apabila pemimpin dalam semua peringkat sudah membusuk. Amanah memimpin selamanya di anggap sebagai peluang terbaik untuk membolot dan membuat harta dengan mudah. Rakyat kini sudah celik dan berani berkata tidak kepada pemimpin BN/UMNO. Rakyat yang sudah merdeka.

Sumber: Terjemahan Riadhus Shalihin Oleh Imam Abu Zakaria Yahya bin Sharaf AnNawawi, Alih Bahasa oleh Salim Bahreisy. 1995. Kuala Lumpur: Victory Agencie. ms 490-493.

No comments: