Thursday, January 08, 2009

Kita Yang Bersalah Bila Anak Gadis Mabuk Dengan Perzinaan

oleh Pak Teh Majid

Terkejut saya membaca laporan berita tentang ramainya remaja perempuan Islam yang terjerumus dalam lembah perzinaan sejak usia masih mentah lagi. Segera saya sedar bahawa perlu tindakan segera bagi mengatasi konflik sosial yang makin membarah ini.

Bayangkan, anak-anak remaja perempuan yang masih bersekolah, berumur di bawah 15 tahun tetapi saban hari mengadakan persetubuhan haram, dan berbangga dengan maksiat yang mereka lakukan, masya-Allah. Malah, rakan-rakan sebaya yang tidak pernah berzina akan dikutuk, atau paling kurang diperli, kerana kononnya tidak mengikuti peredaran zaman.

Perkembangan buruk ini adalah mala petaka di atas kelalaian kita sebagai umat yang sepatutnya dibangga oleh Nabi Muhammad kerana berperanan bagi menyeru kebenaran dan mencegah maksiat. Lebih teruk, umat Islam yang sedar tentang tugas dan tanggungjawab pun makin melupai peranan unggul sebagai jurudakwah.

Saya mohon keampunan kepada Allah kerana turut alpa dan lalai dengan peranan mulia warisan para Nabi ini. Kita semakin hidup sendiri-sendiri, hanya menjaga diri, keluarga dan kelompok sempit. Dunia yang makin terlungkup seperti tidak dipedulikan.

Anak-anak muda yang kehilangan arah itu menjadi tanggungjawab kita bagi memandu mereka ke arah jalan yang lurus dan selamat.

Dengan duduk berdiam diri, sekadar menggeleng kepala tanda tidak berpuas hati atau membantah lingkungan mungkar, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebaliknya kian terperosok dengan fenomena kemaksiatan melampau itu. Moga Allah tidak menurunkan bala atas semua umat disebabkan kelalaian kita BERDAKWAH.

http://kedahlanie.blogspot.com/

Komen: Jom Bersama Berdakwah Menyelamatkan Manusia Dari Siksa Akhirat.

No comments: