Thursday, June 18, 2009

Israel selamanya tidak berminat untuk berdamai

Sudah Terang Lagi Bersuluh 
– Netanyahu tidak berminat untuk mencari jalan perdamaian 


Kenyataan dari PACE – Palestinian Centre of Excellence 

Ucapan Benjamin Netanyahu di Universiti Bar-Ilan menggambar polisi regim Zionis terhadap isu Palestin. Ia dengan jelas menggariskan dasar-dasar Israel yang tidak pernah berubah sejak entiti haram itu rasmi berdiri pada tahun 1948. Sejak dari hari pertama, agenda pendukong ideologi Zionis ialah untuk mendirikan sebuah Negara Yahudi dengan mengusir dan menafikan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka sendiri. Netanyahu tanpa berselindung meletakkan pengiktirafan penuh Palestin dan Negara-negara Arab ke atas entiti Zionis sebagai Negara Yahudi sebagai syarat untuk mengakui kewujudan Negara Palestin. Kenyataan ini lagak seorang ketua mafia yang tidak memberi pilihan langsung kepada mangsa peras ugutnya supaya tunduk kepada semua kehendak-kehendak jahatnya. 

Apakah implikasi kepada kenyataan Netanyahu apabila menuntut Palestin mengakui Israel sebagai Negara Yahudi. Ia hanya membawa satu tafsiran sahaja iaitu orang lain tidak punya tempat dan tidak punya hak ke atas bumi Palestin samada yang dirampas Israel pada tahun 1948 atau wilayah yang diduduki sehingga kini sejak tahun 1967. Jika adapun ruang bermastautin untuk mereka maka mereka adalah warga kelas kedua yang akan terus dinafikan pelbagai hak termasuklah hak untuk bergerak bebas tanpa sebarang sekatan seperti yang berlaku kepada penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur. Pengakuan Israel sebagai Negara Yahudi juga bererti merestui penempatan-penempat an haram pendatang Yahudi yang berselerak kini di Tebing Barat dan mengakui hak mereka untuk terus menceroboh tanah milik penduduk Palestin untuk memperbesarkan lagi penempatan-penempat an tersebut. Kini kita sedang menyaksikan pembinaan puluhan ribu unit-unit apartmen untuk penduduk Yahudi sedang rancak di bina di persekitaran Baitul Maqdis dan Kota Lama (Tanah Suci umat Islam yang menempatkan Masjid al Aqsa) untuk melengkapkan agenda pengyahudian entiti haram Zionis.  

Netanyahu terus menguji pendirian masyarakat antarabangsa apabila menegaskan isu pelarian Palestin harus diselesaikan di luar batas Negara Israel. Kenyataan ini secara terang-terangan mencabar kewibawaan Bangsa-bangsa Bersatu yang telahpun meluluskan Resolusi PBB 194 (III) yang memberi hak kepada rakyat Palestin yang terusir dari wilayah Palestin kembali ke tanah air mereka. Resolusi ini bukan sahaja diketepikan begitu sahaja bahkan Netanyahu memberi gambaran seolah-olah ia tidak pernah wujud. Inilah sikap yang diwarisi oleh pendukung-pendukung Zionis sejak dahulu yang tidak pernah berubah. Ia adalah ibarat agama yang dipegang kukuh oleh penganut-penganutny a tanpa ada sedikit ruang pun untuk bertolak ansur. Golda Meir yang pernah menjadi Perdana Menteri Israel yang ketiga pernah mengungkapkan bahawa ‘Kami tidak mengambil hak rakyat Palestin, sebaliknya rakyat Palestin tidak pernah wujud’. Keangkuhan inilah yang kini diulang kembali oleh waris ideology zionis seperti Netanyahu pada hari ini. 

Netanyahu cuba berselidung di atas nama agama Yahudi apabila mengatakan Israel adalah bumi yang diwariskan kepada mereka oleh Tuhan sejak 3,500 tahun yang lalu. Apakah beliau menyangka masyarakat antarabangsa boleh dibohongi begitu sahaja dengan fakta sejarah yang palsu? Di manakah bangsa Yahudi ketika bumi Palestin dihuni oleh pelbagai bangsa seperti Kanaan (yang merupakan nenek-moyang kepada orang Palestin pada hari ini), bangsa Phonecian, bangsa Filistin dan lain-lain yang sudah membangunkan tamadun di sana sejak 6,000 tahun yang lalu jauh sebelum Nabi Ibrahim AS, bapa kepada kaum semitik (Yahudi dan Arab) berhijrah ke sana dari Mesopotamia (Iraq). Jelas cubaan untuk menggunakan fakta sejarah yang diselewengkan hanya satu langkah terdesak pendukong ideologi Zionis. Bahkan kelompok Yahudi tulen yang obejktif dan bergerak di dalam sebuah Pertubuhan Naturikarta membidas semua dakwaan palsu golongan zionis ke atas bumi Palestin atas nama agama Yahudi. Mereka sama sekali menolak untuk dikaitkan dengan pemalsuan golongan zionis ke atas sejarah bumi Palestin. Bagi mereka agama Yahudi sendiri tidak merestui pembohongan kelompok zionis menwajarkan pendudukan dan penindasan yang mereka lakukan ke atas rakyat Palestin. 

Ucapan Netanyahu adalah satu maklum balas kepada ucapan 'perdamaian’ Obama di Kaherah. Obama menekankan betapa perlu regim zionis menghormati keputusan-keputusan yang telah disepakati terutama di dalam membekukan aktiviti pembinaan penemapatn Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki. Netanyahu menyampaikan satu ’message’ jelas kepada Obama yang cuba mencari sedikit sokongan dari rakyat Palestin, dunia Arab dan masyarakat Islam antarabangsa, iaitu ’jika Palestin hendak wujud ia harus bersedia untuk terus hidup dalam penindasan dan penafian hak di negara mereka sendiri. Mereka harus bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai sekatan yang menyekat kebebasan bergerak samada oleh pos kawalan tentera, pemeriksaan keselamatan, tembok pemisahan atau kepungan. Bahkan mereka harus bersedia untuk hidup sebagai warga kelas kedua yang bukan sahaja tidak mendapat hak yang sama dengan rakyat Israel bahkan tidak punya sebarang kedaulatan dan harga diri sebagaimana yang sewajarnya dimiliki oleh semua negara yang bebas dan merdeka. 

Netanyahu juga tidak lupa mengunci sebarang peluang untuk rundingan apabila meletakkan syarat mustahil iaitu negara Palestin yang bakal wujud mesti tidak boleh membangunkan kemampuan pertahanannya (demilitarized) . Negara berdaulat yang semacam apakah yang tidak dibenarkan untuk membina kemampuan pertahanannya sendiri? Bukankah aspek keselamatan dan pertahanan adalah elemen paling penting di dalam menjamin kedaulatan sebuah negara? Sudah terang lagi bersuluh, Netanyahu meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah untuk mewujudkan sebarang jalan menuju perdamaian di Palestin.  

Masyarakat antarabangsa seharusnya mendapat mesej yang jelas dari ucapan Netanyahu. Netanyahu tidak memberi sebarang pilihan lain kepada dunia melainkan dengan mengenakan tekanan antarabangsa yang berterusan agar Israel menghormati Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, melaksanakan semua Resolusi PBB berkaitan hak rakyat Palestin yang sudah lama tertangguh, menghentikan pelanggaran menyolok mata ke atas Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, menghentikan kepungan ke atas Gaza yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva yang ke 4 (1949), mengosongkan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur dan keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 seperti yang digariskan dalam Resolusi 242 dan 338 serta menghentikan pembinaan tembok pemisah dan merobohkannya sesuai dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague. Jika satu gerakan global dapat dijana ke atas inisiatif-inisiatif ini maka tidak mustahil regim Zionis Israel akan tamat riwayatnya sebagaimana Regim Apartheid Afrika Selatan berakhir akibat dari tekanan antarabangsa yang berterusan. 

Dr Hafidzi Mohd Noor 
Pengarah 
Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) 
16 Jun 2009

Komen: Tidak mungkin bagi warga Palestin yang terjajah mengiktiraf penjajah sekaligus identiti haram Israel. Lawan tetap lawan. Biar putih tulang, jangan putih mata.

No comments: