Monday, July 27, 2009

“Damage Control” Iman Kita

Sahabat,

Tubuh badan manusia menjadi gagah perkasa hasil dari latihan fizikal berterusan yang disokong pemakanan yang baik. Begitu juga, iman manusia akan bertambah kuat bila diberi latihan beramal dan disokong dengan makanan hati seperti zikir dan Qur’an. Namun, manusia tetap manusia. Godaan syaitan, pujukan kawan, tipu helah nafsu sendiri – semuanya boleh memesongkan dia dari jalan yang lurus. Akibatnya, ada ketikanya dia terlanjur dan melakukan dosa. Pada satu masa dia kuat, pada masa yang lain dia lemah. Kuat dan lemah sering bertukar ganti sama ada pada zahir maupun batin, pada tindakan ataupun bisikan hati. Itulah manusia…

Sedarkah kita bahawa setiap kali kita melakukan dosa, titik hitam akan terukir di hati. Titik-titik hitam itu juga akan menghalang hati dari dibimbing cahaya petunjuk. Akibatnya, hati yang selalunya membantu kita memilih jalan yang betul semakin lemah dan kurang berupaya.

Sebab itu, kita perlu bertindak segera bila tersalah, harus segera insaf, beristighfar dan bertaubat. Tanpa mengira apa bentuk dosa yang dilakukan – kecil, besar, terbuka atau tertutup – “damage control” perlu dilakukan segera sebelum ianya merebak menjadi masalah yang lebih besar.

Renungilah hadith ini:

Diriwayatkan dari Abu Zarr dan Mu’az bin Jabal r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda :
“Bertaqwalah kepada ALlah swt di mana sahaja kamu berada. Susulilah perbuatan dosa dengan amalan baik, nescaya amalan baik itu akan memadamkannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlaq yang baik” Riwayat Tarmizi.

Saranan ini perlu sentiasa diamalkan. Tatkala iman ditewaskan, ia bagaikan tercedera, maka kita perlu cepat merawatnya kembali dengan melaksanakan amal soleh – beristighfar, bersedekah, membaca al-Quran, menolong orang dan sebagainya.

Inilah adalah contoh aktiviti “damage control” yang perlu sentiasa dilakukan apabila berlakunya kemalangan pada iman…

http://arshadahmad.wordpress.com/2009/07/23/buatmu-sahabat-8-damage-control/

No comments: