Wednesday, May 10, 2006

SIFAT-SIFAT PAKAIAN WANITA ISLAM

Secara ringkasnya, berikut ini ialah sifat-sifat pakaian wanita dalam Islam, sebagaimana yang dapat diambil kesimpulan dan isyarat-isyaratnya daripada Quran, Hadith dan ajaran para Ulama dan Hukamak Islam:

1. Pakaian itu mestilah menutup aurat.

2. Pakaian itu tiada terlalu tipis sehingga tampak terbayang-bayang tubuh badan dari luar.

3. Pakaian itu tiada ketat atau sempit, tetapi longgar atau selesa dipakai. Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki dan ia menutup aspek kehaiwanan dari insan itu.

4. Warna pakaian itu suram atau gelap, seperti warna hitam atau kelabu asap atau perang, sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya.

(Ini terutamanya pakaian luar, seperti jilbab atau ‘abaya. Menurut Ibn Kathir, di dalam Tafsirnya, pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi s.a.w. ketika mereka keluar rumah, berwarna hitam).

5. Pakaian itu tiada sekali-kali disemerbakkan dengan bau-bauan yang harum, demikian juga tubuh badan perempuan itu, kerana bau-bauan itu ada pengaruhnya atas nafsu kelamin yang ajnabi.

Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah, sehingga lelaki mencium baunya, disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai zaniyah, yakni pelacur atau penzina.

6. Pakaian itu tiada bertasyabbuh dengan pakaian lelaki, yakni tiada meniru-niru atau menyerupai pakaian lelaki.

7. Pakaian itu tiada bertasyabbuh dengan pakaian perempuan kafir atau musyrik.

8. Pakaian itu bukanlah libasusy-syuhrah, yakni pakaian untuk bermegah-megah, untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias.

Wallahu a’lam.

Kearah Dunia Adil& Sejahtera

Di ambil terus dari sumber asal:
Wan Muhammad bin Wan Muhammad Ali (1979). Al-Hijab: Sebuah Risalah Tentang Aurat Lelaki dan Aurat Perempuan dan Tentang Hijab Wanita Islam. Kuala Lumpur : Percetakan Watan.

No comments: