Monday, December 14, 2009

Tanggungjawab Kita Adalah Mencetak Generasi Muda

Tanggungjawab Kita Adalah Mencetak Generasi by mhafezsabri 

Saya berpandangan, kualiti generasi muda kita merupakan cerminan masa depan Islam. Generasi pemuda kini yang gagal membina generasi pemuda akan datang dengan ruh Islam adalah generasi yang akan digantikan degan generasi murabbi yang lebih baik.

Pandangan saya apalah ertinya kemajuan ekonomi, kecanggihan teknologi dan kekuatan tentera, sementara generasi mudanya semakin rosak moralnya, lemah dan tidak dapat diharapkan untuk membina masa depan Islam yang terbaik. Kini kita melihat bayang-bayang kemunduran atau kepunahan generasi muda akan datang kelihatan begitu mengecewakan.

Saya teringat kata-kata John Kennedy, seorang negarawan Amerika, beliau pernah mengungkapkan kekhawatirannya terhadap kerusakan moral generasi muda Amerika, "Andai mereka disuruh berperang, hanya ada 1 dari 7 pemuda yang berani menghadapi musuh.”

Jika seorang yang bukan beraqidah Islam pun berfikir begitu, maka kita selaku generasi muda Islam wajib mempersiapkan diri agar mampu terus bergerak maju terus bangun dari tidur yang panjang sekaligus mengambil peranan yang lebih besar dalam membina generasi kita.

Bagi saya kita sewajibnya saling bahu-membahu untuk mengembangkan berbagai program pembinaan generasi muda untuk mencapai kualiti iman dan takwa serta penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang baik.
Pembinaan akhlak islamiyah generasi muda Islam amat penting buat masa ini, kerana anak muda Islam di Malaysia kini semakin hilang identiti keislaman hakiki mereka.

Kita semua sedia maklum, sesungguhnya kita memiliki banyak sekali orang bijak pandai dalam pelbagai bidang. Malaysia juga memiliki kekayaan alam dan sumber manusia yang banyak. Namun, semuanya masih tidak mampu mengangkat darjat Islam dek kerana rosaknya moral dan akhlak generasi kita.

Oleh kerana itu, kita ada kerja besar yang wajib dilakukan untuk sebuah perubahan besar di masa depan. Lahirkan generasi baru yang terbaik yang mana mereka meletakkan ALLAH SWT dan Rasul cinta tertinggi mereka. Tanamkan keimanan dalam lubuk hati mereka yang paling dalam, curahkan ilmu pengetahuan di sel-sel otak mereka yang cerdas dan gemilang. Arahkan potensi mereka agar terarah dan berkembang. Kerja besar membangun peradaban, agar kita dapat meraih kemenanngan hasil kerja keras kita, usah ditunggu temanku segerakan langkahmu terus mencetak generasi kita…
http://mhafezsabri.wordpress.com/2009/12/08/tanggungjawab-kita-adalah-mencetak-generasi/

Komen: Ya Allah..lahirkan generasi muda yang sayangkan Islam dan sentiasa berusaha memenangkan Islam melalui dakwah.

No comments: