Syed Qutb (atau disebut juga Sayyid Qutb), salah seorang pejuang besar ummat ini walaupun hanya bertubuh kecil. Beliau bersama sahabat-sahabatnya dari Ikhwanul Muslimun telah di penjarakan pada akhir tahun 1954 oleh Regim Presiden Nasser yang memerintah Mesir pada waktu itu.
Tulisannya yang mencakup memahami Islam secara lebih menyeluruh dalam pemikiran, amalan, aqidah, perilaku, wawasan, jihad dan sikap menyebabkan beliau telah dikenakan hukuman penjara lebih 10 tahun, sehingga akhirnya di kenakan hukuman mati. Apabila hukuman itu disampaikan kepadanya, beliau berkata, “Alhamdulillah. Saya telah melaksanakan jihad selama 15 tahun sehinggalah saya dikurniakan syahid.” (Wright, p. 8)
Sebelum di jatuhkan hukuman gantung, seorang petugas agama seperti biasa mengajarkan beliau supaya boleh menyebutkan kalimah ‘La ilaha illallah’ (bermaksud Tiada tuhan melainkan Allah). Syed Qutb hanya berkata bahawa kerana kalimah ‘La ilaha illallah’ itulah dia dikenakan hukuman mati. Beliau di hukum gantung sampai mati menjelang waktu fajar hari Isnin, 29 Ogos 1966. Beliau tersenyum apabila digantung.
Melalui sajak Akhi (Saudaraku)yang di senandungkan oleh Syed Qutb ketika berada di penjara, seolah-olah ingin mengingatkan kita sebagai pejuang kebenaran sepanjang zaman supaya jangan sekali-kali mengaku kalah. Dalam bahasa mutakhir : Lawan tetap lawan.
Di turunkan di sini terjemahan sajak peninggalan beliau untuk kita bersama-sama hayati:
Akhi
Saudaraku, engkau merdeka di balik tembok itu
Saudaraku, engkau merdeka dengan belenggu itu
Bila engkau jadikan Allah sebagai sandaran
Maka apakah gerangan yang akan memperdayakanmu
Wahai saudaraku, pasukan kegelapan akan binasa
Dan fajar baru akan menyingsing di alam semesta
Lepaskan kerinduan jiwamu
Engkau akan melihat fajar dari jauh telah bersinar
Saudaraku, engkau jangan jemu berjuang
Engkau lemparkan senjata dari bahumu
Siapakah yang akan mengubati luka-luka para mangsa
Dan meninggikan kembali panji-panji jihad?
(Seorang sahabat memberitahu sajak Akhi dalam bahasa Arab di nasyidkan oleh Abu Mazin dan di edarkan oleh Pustaka Salam, Kuala Lumpur sekitar 1985, kalau tidak silap ingatan. Siapa benar-benar tahu? Masih memilikinya?)
Rujukan:
Tarbawi, Edisi 107 Th 7, Rabi’ul Awwal 1426. Tarbawi Press : Jakarta. E-mail: tarbawi@yahoo.com
Ahmed El-Kadi. GREAT MUSLIMS OF THE 20TH CENTURY No. 3 Sayyid Qutb. http://www.icna.org/tm/greatmuslim3.htm
http://www.semp.us/biots/biot_239.html
KEARAH DUNIA ADIL & SEJAHTERA
No comments:
Post a Comment