Wednesday, February 29, 2012

Apa rakyat dapat daripada projek Lynas?

Majdan Dagang, 29 Feb 2012 

Tragedi yang berlaku di Chernobyl, Ukraine lebih dua dekad lalu dan terkini di Fukushima Jepun, sewajarnya menjadi pengajaran dan teladan kepada Malaysia. Sebelumnya insiden kebocoran nuklear pernah berlaku di Pulau Three Mile, Amerika Syarikat. Selain itu rakyat Malaysia juga sewajarnya tidak lupa akan tragedi kebocoran gas di Bhopal, India yang berlaku pada tahun 1984. 

Kesemuanya memberi kesan yang sangat buruk kepada rakyat yang tinggal berhampiran tempat kejadian. Dalam kes Chernobyl dan Bhopal, kesemua kawasan tragedi kini menjadi kawasan larangan dan tidak selamat didiami. Terkini, Fukushima juga menerima nasib yang sama apabila kerajaan Jepun mendapati tahap radioaktifnya terlalu tinggi dan tidak selamat didiami.

Kesemua negara tersebut – Amerika Syarikat, Ukraine (ketika masih di bawah Rusia), dan Jepun mempunyai tahap teknologi yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia, namun mereka tidak mampu mengawal kebocoran daripada berlaku.

Bagaimana pula Malaysia yang masih merangkak-rangkak untuk menjadi sebuah negara maju mampu mengawal sebarang bencana jika berlaku kebocoran? 

Rakyat Malaysia secara umumnya tidak menolak kemajuan apatah lagi teknologi nuklear tetapi cara projek ini dikendalikan menimbulkan kegusaran dan keresahan terutamanya tentang aspek keselamatan.

Antara yang paling membimbangkan rakyat ini ialah kedudukan tapak loji nuklear itu terlalu hampir dengan kawasan kediaman. Jika diambil kira jarak larangan di Fukushima iaitu sekitar 40 km, maka jarak dari Gebeng Kuantan yang bakal menjadi tapak loji, tidak lebih daripada 2 km. Sebarang kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah mencecah hingga ke Kemaman di Terengganu. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 900 ribu. Sementara syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia pula adalah minima 35 km dari kawasan penempatan penduduk.

Oleh sebab kedudukannya yang begitu hampir dengan penempatan penduduk, maka nilai hartanah akan jatuh merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman sekitar Kuantan dan Kemaman. Tiada orang yang berfikiran waras bersedia tinggal di kawasan yang berisiko tinggi.

Pada masa yang sama, pelabur luar mahupun tidak akan mengambil risiko melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas terlalu tinggi. Syarikat-syarikat yang sedia ada pula bakal mengalami kerugian jika operasi mereka terganggu. Perkara ini akan membantutkan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Sementara peluang rakyat tempatan untuk bekerja di kilang pemprosesan nadir bumi itu amat sedikit jika dibandingkan dengan adanya pelbagai industri lain.

Sektor pelancongan akan terjejas kerana pelancong tentunya akan memilih kawasan lain yang bebas risiko. Sekali lagi penduduk kawasan sekitarnya akan terjejas pendapatan dan peluang pekerjaan.

Selain itu, syarikat ini dikecualikan daripada cukai selama 12 tahun! Sedangkan syarikat ini bakal membuat untung berbilion ringgit pada tahun pertamanya beroperasi. Bagaimana jika mereka menutup projek ini dan meningglkannya begitu sahaja selepas 12 tahun? Apakah yang kita dapat? Pada masa yang sama rakyat dibebankan dengan pelbagai cukai dan pemotongan subsidi.

Sedangkan syarikat dari luar mendapat peluang perniagaan yang untungnya berbilion rnggit dan tidak pula dikenakan cukai. Dalam hal ini rakyat terus-terusan tidak mendapat manfaat daripada projek Lynas!

Seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1), Denda RM50 juta akan dikenakan kepada Lynas untuk setiap bencana. Namun jika dibandingkan dengan jangkaan RM8 Billion setahun, denda itu terlalu kecil sedangkan rakyat akan menderita ancaman radioaktif untuk tempoh yang cukup lama.

Hakikatnya, walaupun kebanyakan rakyat sedar tentang kebaikan dan manfaat daripada pembangunan teknologi ini, namun cara dan kaedah pelaksanaannya tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat, bahkan terpaksa menghadapi risiko yang tinggi jika berlaku sebarang kebocoran atau sebagainya.

Sumber: 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8436-apa-rakyat-dapat-daripada-projek-lynas

Ulasan: Sesiapa yang cintakan projek ini, eloklah berpindah ke Gebeng.

No comments: