Wednesday, February 13, 2013

Larangan Bermadu Kasih Sebelum Kahwin


HARI BERSEJARAH Berkahwinan menyuburkan kasih sayang antara dua hati untuk mengembangkan zuriat di atas muka bumi Allah.


SIAPA sangka kita akan bertemu jodoh dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali.

Malah, dalam sekelip mata si dia sudah menjadi isteri kita.

Itulah dinamakan jodoh yang Allah SWT kurniakan kepada seseorang. Zaman datuk nenek moyang kita, kebanyakan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memilih jodoh, tiada istilah bercinta atau mengurat.

Larangan Bermadu Kasih Sebelum Kahwin

Berbeza kini, zaman siber memberi pilihan kepada anak-anak memilih pasangan sendiri. Pasti setiap pasangan ada cerita menarik detik awal perkenalan sehingga diijab kabulkan.

Jika menuntut di menara gading, pastinya banyak kenangan manis bagi pasangan bertemu jodoh.

Ada yang bermula dengan meminjam nota pelajaran sehingga menerbitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Ada sebahagian yang ‘kuat’ jodohnya sejak zaman persekolahan, walaupun banyak pilihan di kampus, si dia tetap menjadi pasangan ke jenjang pelamin.

Begitulah hebat tarikan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Setiap pertemuan itu pastinya dari ‘mukadimah’ cinta iaitu mengurat.

Tetapi, apakah Islam membenarkan umatnya melakukan perbuatan mengurat?

Cinta itu sebagai permulaan (mukadimah) kepada perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan mengurat jika ia membawa kepada kebaikan.

Contohnya, seorang lelaki mahu menyampaikan hasrat hatinya terhadap wanita yang dirasakan layak menjadi teman hidupnya, seni mengurat perlu ada.

Tetapi, dari sudut berbeza, mengurat mungkin membawa keburukan jika biasanya berlaku perkara yang bertentangan dengan agama iaitu perzinaan.

Akibat berzina amat buruk kerana melanggar hukum Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat”. (Surah al-Israak ayat 32)

Justeru, apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat selain memelihara diri daripada keghairahan seks yang boleh membawa kepada zina.

Islam tidak menyekat fitrah manusia untuk sayang menyayangi, cuma kita dilarang jika bibit-bibit kasih sayang itu membawa kepada kemaksiatan.

Islam tidak pernah menghalang memikat atau mengurat, tetapi perlu ada seninya dan tidak melanggar batas kesusilaan antara lelaki dan wanita. Ini kena banyak bertanya kepada Ustaz.

Jika seorang lelaki itu berminat terhadap seorang wanita dan mahu menjadikan teman hidup, mereka perlu berjumpa dengan wali untuk meminang.

Menjadi satu kesilapan jika terus bertemu wanita pilihannya tanpa bertemu ibu bapanya.

Kita dianjurkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang ada atau petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

Mereka yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

Penulis ada sediakan artikel Istikharah Permulaan Cinta yang berguna untuk anda insya Allah.

Selepas keputusan dibuat, teguhkan azam dan terus bertawakal sebelum menguruskan lamaran dengan memilih wakil yang baik untuk meminang.

Jika bersedia, bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan untuk mengenali calon menantu serta menyatakan hasrat dengan lebih jelas.

Selepas kedua-duanya bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan. Selepas bertunang, haram bagi seorang wanita itu dipinang lelaki lain.

Sepanjang masa pertunangan, mereka boleh mengenali di antara satu sama lain. Ketika itu barulah dapat dirasakan keserasian sebelum majlis perkahwinan.

Sentiasa beringat bahawa bertunang bukan ‘lesen’ melakukan perbuatan maksiat kerana mereka belum sah sebagai suami isteri.

Ini bagi memelihara zuriat yang bakal lahir nanti. Inilah indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umatnya.

Percintaan dalam Islam ialah hubungan cinta yang disuburkan selepas perkahwinan sehingga ke akhirnya. Tanda sebuah perkahwinan itu dizahirkan melalui hubungan suami isteri diisi penuh tanggungjawab dan kasih sayang, membentuk anak yang soleh dan solehah serta taat kepada perintah Allah.

Jadi berdoalah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan tidak sesekali berdasar godaan nafsu dan keduniaan.

Jika masih ‘berat’ bertemu jodoh, jangan bersangka buruk kepada Allah. Ini pastinya satu ujian yang mengandungi 1001 hikmah.

Barangkali Allah mahu selamatkan mereka daripada mendapat pasangan tidak sesuai. Tetapi, usaha perlu dipertingkatkan agar Allah permudahkan urusan kita.

Jangan membuat keputusan tidak berkahwin selama-lamanya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat agama.

Nabi Muhammad s.a.w memberi panduan melamar seorang wanita adalah dengan melihat calon mengikut aturan yang ditetapkan syarak.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata, Mughirah bin Syu’bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua”. Lalu dia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan dia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sebelum berkahwin pasangan diharuskan melihat dan berkenalan. Menurut riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bertanya kepada seseorang yang akan menikahi seorang wanita: “Apakah engkau telah melihatnya?” Ia menjawab: “Belum:. Baginda bersabda: “Pergi dan lihatlah dia”.

Meskipun sudah berkenalan, seseorang itu dilarang berpacaran berdasarkan ayat Quran yang menegah daripada berlakunya perzinaan.

Berpacaran bukanlah perkara yang tepat bagi mengenal pasangan. Mereka boleh mendapat maklumat daripada orang hampir dengannya seperti sahabat baiknya.

Minta penilaian daripada orang tua dan keluarga sebab mereka yang ‘jatuh cinta’ tidak melihat kekurangan pasangannya, bau busuk pun dikatakan wangi.

Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap pasangan walaupun mereka memberi isyarat berminat kepada kita.

Berikan pujian dengan ikhlas dan jujur terhadap sikap serta personaliti mereka. Jadikan mereka mempercayai kepada keikhlasan kita supaya mereka dapat berkongsi suka duka atau luahan emosi.

Janganlah bersikap keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang kepada pasangan. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan negatif.

Untuk menjadikan semua orang di sekeliling kita berasa senang dan sayang kepada kita, bersihkan hati dengan menjaga ibadah seperti solat, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta maaf jika melakukan kesalahan, banyakkan bersedekah dan sentiasa memikirkan hal yang positif.

Dilahirkan sebagai lelaki, kita perlu banyak belajar mengenal kerenah wanita terutama menjaga perasaan, kehendak, pemikiran dan kesukaan mereka.

Cuba elakkan mencari kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Apatah lagi bertindak mengutuk atau memalukan bakal mereka.

Pasangan pastinya akan tertarik kepada jika kita mengasihinya bukan kerana harta, wajah atau keturunannya.

Cari ruang untuk sentiasa mewujudkan suasana yang gembira yang dalamnya ada terselit kisah lucu.

Apa yang paling penting, carilah bakal bakal pasangan yang sekufu, setara dan sepadan dengan kita. Kehidupan yang lalui adalah ‘medan’ untuk terus memperbaiki diri dan belajar sesuatu perkara yang baru.

http://www.halimislam.com/2013/02/larangan-bermadu-kasih-sebelum-kahwin.html

No comments: