Wednesday, June 06, 2012

Himpunan Bersih haram, Himpunan Belia bagaimana?


Harakahdaily,06 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang menolak pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berpandangan negatif pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

“Bagi DPPM, pendirian Majlis Syura Ulamak PAS adalah jelas iaitu perhimpunan ini adalah sebahagian daripada usaha mencegah kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dalam negara ini,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Tambahan lagi, ujarnya tidak ada insiden pelanggaran syariat dalam perhimpunan yang dianjurkan itu.

Katanya, peserta perhimpunan yang hadir tempoh hari amat beradab dan menjaga tatasusila semasa majlis perhimpunan.

Menurutnya, mereka semuanya sepakat menyatakan sistem pilihanraya di Malaysia masih kotor dan dipenuhi dengan unsur penipuan.

“Mereka tidak rela membiarkan kemungkaran dalam sistem pilihanraya di negara ini yang memungkinkan ada pihak memenanginya dengan cara yang tidak bermaruah,” ujarnya.

Bagi DPPM, ujarnya soal perhimpunan tersebut yang dicemari dengan keganasan adalah alasan bagi memburukkan imej Bersih 2.0 dan peserta yang menghadirinya.

“Sebenarnya setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 mahupun parti-parti politik termasuk Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional akan berlangsung dengan aman jika tiada sabotaj atau provokasi,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, PAS telah membuktikan dalam Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya yang dihadiri seramai 100,000 orang berjaya diadakan dengan aman jika tiada provokasi.

Tambahnya, perhimpunan Bersih 3.0 akan berlangsung dengan baik dan aman jika tiadanya pihak yang melakukan provokasi melampau sehingga insiden keganasan itu berlaku.

Sehubungan itu, katanya DPPM juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan berlaku adil dengan turut melihat sama kepada program Himpunan Jutaan Belia anjuran kerajaan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

“Antara artis yang diundang bagi memeriahkan majlis ini adalah kumpulan K-Pop dari Korea.

“Soalnya, apakah mesej baik yang boleh difahami dari penganjuran program ini dan bagaimana hukum bagi umat Islam menghadirinya serta hukum bagi penganjurannya,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan bukti dengan gembar yang jelas memaparkan aksi menjolok mata dari artis-artis tersebut, disambut pula dengan meriah oleh pemimpin-pemimpin negara, Majlis Fatwa Kebangsaan diharapkan tidak membisu seribu bahasa dan menutup mata melihat kemungkaran yang lebih terang di depan mata.



No comments: