Sunday, June 17, 2012

Mesir: Undi automatik, celup jari jalan lancar



Dr. Syed Azman Syed Ahmad,16 Jun 2012
Proses pengundian bagi setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir berjalan tenang bermula pada pagi Sabtu ini. Adalah dijangkakan lebih 60 peratus penduduk seluruh Mesir dari kalangan 50 juta pengundi yang layak mengundi secara automatik setelah melepasi usia 18 tahun akan sekali lagi membuang undi bagi memilih Presiden yang baru selepas jatuhnya rejim Hosni Mubarak.

Secara umumnya proses pendaftaran undi secara automatik ini banyak menyelesaikan pelbagai masalah seperti yang berlaku di negara kita.

Rakyat Mesir tidak perlu bersusah payah mendaftar undi melalui SPR. Mereka secara automatik menjadi pengundi apabila mencapai usia 18 tahun.

Setiap pengundi pula hanya perlu membawa kad pengenalan mereka di tempat mengundi dan mereka di periksa pengesahan layak mengundi berpandukan nama yang ada dalam pendaftaran pengundi secara automatik setelah mencapai usia 18 tahun.

Walaupun pengundi yang layak mengundi di anggarkan lebih 50 juta, proses pendaftaran undi secara automatik juga banyak menyelesikan masalah seperti yang berlaku di negara kita Malaysia.
Ia dapat mengurangkan isu seperti semakan nama pengundi yang terpaksa di buat oleh setiap parti yang bertanding di bawah ‘pondok panas pengundi’, nama pengundi yang hilang dan pendaftaran nama yang bertindih.

(Rakyat Mesir dari pelbagai golongan mengundi untuk memilih presiden baru mereka)

Begitu juga dengan proses ‘celup jari’ yang dapat memastikan setiap pengundi hanya mengundi satu kali sahaja dan dapat menyelesaikan isu membuang undi dua kali dan pengundi hantu seperti yang sering berlaku di negara kita.

Di Mesir, setiap pengundi yang telah membuang undi di wajibkan mencelup jari mereka bagi menandakan bahawa mereka telah selesai membuang undi.

Malah, Parlimen Mesir baru-baru ini juga telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan.

Proses pengiraan ini  di kawal-selia oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding. Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi di sepanjang tempoh pengundian.

Namun proses pengundian pusingan kedua ini calon dari Freedom and Justice Party (FJP), Dr. Mohamed Morsi terpaksa berhadapan dengan cabaran besar kemungkinan penipuan yang dilakukan oleh golongan yang setia kepada bekas Presiden Mubarak.
Begitu juga pihak tentera SCAF yang melakukan pelbagai usaha dan cara  bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka Ahmad Syafik akan menang dalam pilihanraya ini.

Syafik juga telah diberikan  pelbagai publisiti oleh media barat terutamanya BBC dan CNN ‘sebagai calon penyelamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Namun pimpinan FJP telah mengambil pendekatan ‘kalahkan fuloul saki-baki Mubarak melalui peti-peti undi’. Mereka tetap yakin bahawa kekuatan jentera pilihanraya daricalon FJP akan dapat menyekat penipuan besar-besaran serta dapat menyaingi jentera yang didokong oleh pihak tentera SCAF dan saki baki penyokong Mubarak.

Pemuda-pemuda FJP kini menjaga setiap peti undi dari di cemari.

Keputusan tidak resmi hanya dijangka akan dapat diketahui pada malam Ahad ini. Walaupun berhadapan dengan penipuan, FJP tetap berkeyakinan bahawa ‘Kuasa Rakyat’ akan dapat mengalahkan saki-baki penyokong Mubarak yang menguasai hampir setiap institusi di Mesir termasuk polis dan tentera. Sama-sama kita tunggu dan lihat...

---------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter:@syedazman  e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk

Ulasan: Bersama-sama kita doakan supaya Mesir akan mendapat Presiden baru yang cintakan agama.

No comments: