Thursday, June 06, 2013

46 tahun yang lalu


46 tahun yang lalu

5 Jun 1967 Tentera Mesir dimusnahkan
7 Jun 1967 Masjid al Aqsa dikuasai Zionis

Dengan wujudnya entiti Zionis di tengah-tengah dunia Arab pada tahun 1948, umat Islam seolah-olah hilang tempat berpaut. Islam seolah-olah tidak pernah menjadi denominator atau penentu dalam membuat perhitungan dengan Israel. Kemunculan Gamal Abdul Nasser pada tahun 1952 melalui revolusi tentera yang merampas kuasa dan kemudian menjadi Presiden Mesir pada tahun 1956 seakan-akan memberi semangat baru kepada dunia Arab. Gamal Abdul Nasser dijulang sebagai penyelamat dan ikon dunia Arab. Semangat Patriotisme bertunjangkan ideologi Arabism mendapat suntikan dari alunan merdu Ummu Kalthum yang dikatakan mempunyai suara emas yang tidak ada tolok bandingnya. Setiap kali ucapan Gamal Abdul Nasser disiarkan di radio, ia akan dimulai dengan lagu-lagu dendangan Ummu Kalthum seperti 'Enta Omri' dan 'Enta el-Hubb' yang menaikkan semangat patriotik Arab. Dengan semangat patriotik Arab dan sebagai hero dunia Arab, Gamal Abdul Nasser berjaya membentuk sebuah kesatuan dengan Syria pada tahun 1958. Kedua negara menjadi satu di bawah United Arab Republic (UAR) yang meskipun terlerai pada tahun 1961, ia merupakan satu cubaan untuk menyatukan umat Arab.

Mana-mana negara bangsa yang mendukung ideologi Assobiyah (kebangsaan sempit) pastinya akan bertopang kepada kuasa-kuasa besar blok barat atau timur. Era perang dingin, pasca Perang Dunia kedua menyaksikan dunia hanya memiliki dua paksi - samada Washington (US) atau Kremlin (USSR). Nasser adalah seorang sosialis dan Diva beliau Ummu Kulthum juga pernah mendendangkan lagu 'Wulida el-huda' di mana Muhammad SAW disebut sebagai 'imam para sosialis'. Gamal Abdul Nasser menganugerahkan kepada dunia Arab jenama sosialismenya sendiri iaitu 'Nasserism'. ya, Gamal Abdul Nasser menjadi sembahan dunia Arab. Dunia Arab terpesona dengan ikon yang pidatonya berapi-api, membakar semangat umat Arab yang seolah-olah baru bertemu dirinya.

"Kita akan hapuskan Israel dari peta dunia - laung Gamal Abdul Nasser' di sambut oleh sorakan rakyat Mesir. 'Jika Dunia Arab kalah dalam peperangan ini dengan Israel, lebih baiklah bangsa Arab membenam wajah mereka ke dalam lumpur...! Inilah ucapan Gamal Abdul Nasser menjelang perang 6 hari yang bermula pada 5 Jun 1967.

... Ketika rakyat Mesir sedang asyik mendengar rakaman nyanyian Ummu Kalthum di radio dan leka dengan kemerduan lagu-lagu klasik Arab yang dialunkan, panjangnya sehingga 45 minit hingga sejam tanpa henti, pada pagi 5 Jun itulah jet-jet pejuang Israel melakukan 'bombing run' dan memusnahkan lebih 100 jet pejuang Mesir di landasan.

Retorik dan ucapan berapi-api Gamal Abdul Nasser dan dendangan Ummu Kalthum menidurkan rakyat Mesir. Semangat kebangsaan Arab membawa padah. Bukan Israel yang terhapus, tetapi Masjid Al-Aqsa yang ditawan.

Tahun 1967, adalah 'the lowest point' dalam sejarah umat ini. Sementara dunia Arab terus mencari jawapan dan teraba-raba mencari kiblat manakah yang dapat menyelematkan mereka dari kemelut demi kemelut, Ikhwan Muslimin terus membina dan membina manusia. Agenda tarbiyyah terus berjalan membimbing manusia untuk mengeluarkan mereka dari segala bentuk kepalsuan yang dihidangkan kepada dunia Arab.

Rupa-rupanya kekalahan 1967 di susuli dengan kekalahan yang lebih parah. Perang Oktober 1973 (Operasi Badar) menjadi satu lagi 'landmark' untuk menempah kekalahan seterusnya..

Bersama2 Kita Bebaskan Palestin


No comments: