IKRAM Menyokong BERSIH 3.0 | |
Khamis, 19 April 2012 03:55 |
Kenyataan Media Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong sepenuhnya usaha gerakan masyarakat madani (civil society) untuk memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia dilaksanakan secara telus, bersih dan profesional. IKRAM dengan ini menyokong penganjuran ”BERSIH 3.0 - Duduk Bantah” yang dipimpin oleh gerakan masyarakat madani sebagai langkah ke arah merealisasikan perubahan tersebut. IKRAM mendesak pengendalian proses sebelum, semasa dan sesudah PRU wajiblah diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil PRU yang bersih dan adil. Ini juga akan bermakna imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah, telus dan adil dapat terus diperbaiki. IKRAM yakin pemimpin-pemimpin NGO masyarakat madani yang menganjurkan Bersih 3.0 mempunyai kebolehan untuk menggerakkan masyarakat serta memimpin perhimpunan ini. Untuk memastikan bahawa perhimpunan ini benar-benar mewakili suara rakyat masyarakat madani dan melangkaui kepentingan politik, maka IKRAM menyeru agar perhimpunan ini kekal diterajui oleh gabungan NGO masyarakat madani. Namun, mana-mana parti politik yang ingin menyokong perhimpunan ini, sepatutnya turut terlibat sebagai gagasan rakyat yang prihatin terhadap pilihan raya yang bersih, telus dan adil. IKRAM menggalakkan ahli-ahlinya untuk turut terlibat dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan perhimpunan Bersih 3.0. IKRAM ingin menegaskan bahawa perhimpunan ini akan digerakkan secara aman dan berharap tiada provokasi dilakukan oleh mana-mana pihak. Pihak polis yang bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan mestilah dilihat sebagai tidak mengganggu perjalanan Bersih 3.0. IKRAM mengingatkan ahli-ahlinya untuk sentiasa menjaga disiplin dan ketinggian akhlak sepanjang perhimpunan.
Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad Presiden |
No comments:
Post a Comment