Sa'id Hawwa: Menerobos Ke Ufuk Ta'alim
Salah satu pusaka peninggalan yang paling berharga dari Imam Hasan Al Banna adalah ‘Risalah Ta’alim’ di mana jika kita membacanya dengan saksama serta menyusuri isi kandungannya secara mendalam, niscaya kita akan mengetahui betapa luasnya cakrawala pemikiran dan gerakan yang dibina oleh Imam Hasan Al Banna.
Karya ini hampir-hampir merupakan ijtihad terakhir beliau dalam bidang pemikiran dan gerakan.
Selain itu, ia juga merupakan buah pandangan yang bernas dan jitu terhadap :
1. Perjalanan sejarah.
2. Realiti ummat.
3. Kefahamannya yang tepat tentang nash-nash syari’at.
Mungkin ramai yang hairan setelah mengetahui bahwa ‘Risalah Ta’alim’ yang hanya merupakan tulisan dalam beberapa lembaran kertas, namun ternyata ianya menggariskan beberapa petunjuk di sepanjang jalan sejarah untuk membangun beberapa generasi.
Sesungguhnya tidak berlebihan jika kita mengatakan bahwa ia menggariskan petunjuk-petunjuk perjalanan umat Islam dalam usaha mencapai agenda kemenangan dan selepasnya hingga jangkauan yang sebegitu jauh.
Itu merupakan salah satu bukti nyata ‘kejeniusan’Imam Hasan Al Banna. Bahkan itu merupakan salah satu bukti nyata anugerah Ilahi yang diberikan kepada lelaki ini.
Ramai di antara murid-murid dan pengikut Imam Hasan Al Banna yang telah mensyarahkan dengan lebih mendalam terhadap ‘Risalah Ta’alim’ dan di antaranya adalah Syeikh Sa’id Hawwa yang menulis di dalam kitabnya yang berjudul “Fi Afaaq at Ta’alim’.
Mari kita susuri sebahagian dari tulisan beliau di dalam kitab tersebut.
Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menulis syarah (komentar) bagi ‘Risalah Ta’alim’ atau risalah-risalah Imam Hasan Al Banna yang lain. Ini adalah kerana kata-kata beliau mudah difahami oleh semua orang; perkara yang jarang dilakukan oleh kebanyakan ulama’, di samping saya tidak mahu menjadi hijab antara Imam Hasan Al Banna dengan pembacanya.
Namun, saya diminta oleh seseorang yang permintaannya itu tidak mungkin saya tolak, maka saya tulislah kitab ini.
Oleh kerana tulisan Imam Hasan Al Banna amat mudah difahami dan tidak memerlukan penafsiran harfiah kecuali sedikit sahaja, maka dalam kitab ini saya tidak akan mengikuti cara penafsiran dan komentar yang biasa berlaku.
Saya hanya akan memberi komentar terhadap beberapa bahagian yang kiranya diperlukan oleh pengkaji ‘Risalah Ta’alim’ dan bahagian lain yang dikehendaki oleh Hasan Al Banna ketika ia menulisnya untuk menjadi acuan awal untuk melangkah.
Oleh kerana kitab ini bukan merupakan syarah secara tradisional sebagaimana lazimnya, maka saya namakannya ‘Fi Afaaqit Ta’alim’ (Di Ufuk Risalah Ta’alim) .
Saya tidak akan menurunkan tulisan Imam Hasan Al Banna secara perkataan demi perkataan lalu mensyarahkannya, meskipun perkara itu kadang-kadang berlaku di beberapa tempat. Namun, bukan itu cara yang saya pakai dalam penyusunan ‘Risalah Ta’alim’ ini.
CARA KAJIAN
Secara kontekstual, ‘Risalah Ta’alim’ mengungkapkan persoalan yang sangat mendasar, iaitu keperibadian muslim di zaman kini, meliputi tiang-tiang pembentukan dan kewajiban-kewajibannya.
Ia telah menyebutkan tiang-tiang itu melalui penjelasan sepuluh rukun-rukun bai’ah dan seterusnya dihuraikan kewajiban-kewajiban yang mesti ditunaikan.
Melalui pembicaraan tiang-tiang pembangunan keperibadian Islam dan kewajiban-kewajibannya ini, beliau menyebutkan juga tujuan-tujuan yang mesti diwujudkan, selain juga menyebutkan fasa-fasa dakwah.
Dalam pembahasan ini saya akan menghuraikan tentang tujuan, berbagai wasilah yang digunakan, kemudian disusuli dengan fasa-fasa dakwah, tiang-tiang pembinaan keperibadian Islam dan kewajiban-kewajibannya.
Pembahasan ini saya lakukan sebagai komentar terhadap tulisan Imam Hasan Al Banna dalam ‘Risalah Ta’alim’nya. Keempat bab ini merupakan intisari pembahasan ‘Risalah Ta’alim’.
Sebelum itu, saya bahas terlebih dahulu tiga bab lain yang isinya membicarakan tentang ketokohan Imam Hasan Al Banna dalam kapasitinya sebagai peletak dasar teori tentang amal-amal islami (gerakan islam) moden, kemudian tentang kunci-kunci untuk memahami dakwahnya dan setelah itu pembicaraan tentang tanggungjawab besar dalam dakwah ini. Dengan yang demikian, buku ini memuat tujuh bab.
Agar ‘Risalah Ta’alim’ dapat menduduki posisinya dalam kerangka umum dakwah Ikhwanul Muslimin, maka saya tuliskan pula bab kelapan yang bertajuk ‘Fasal Penyempurnaan’ yang disusuli dengan ‘Kata-Kata Penutup’ di bab kesembilan sebagai bab terakhir.
Imam Hasan Al Banna telah menetapkan beberapa tujuan yang mesti dicapai oleh setiap muslim, selain menjelaskan kandungan-kandungannya. Ia bukanlah tujuan-tujuan yang disusun secara serampangan, melainkan tujuan-tujuan yang ditetapkan melalui penelitian yang mendalam ke atas nash-nash syariat yang ada.
Beliau juga menetapkan fasa-fasa amal untuk mencapai tujuan-tujuan itu dengan memperhatikan keperluan umat Islam di setiap kawasan.
Beliau menetapkan pula ciri-ciri keperibadian Islam melalui rukun-rukun bai’ah dan kewajiban-kewajiban yang diperlukan oleh gerakan Islam dalam rangka mencapai tujuan di setiap fasanya.
Beliau juga menetapkan beberapa kaidah pokok yang menjadi bingkai kepada kefahaman yang sahih, hubungan dan perjalanannya di mana tidak ada :
a. Sikap ekstrim dan menceroboh batasan.
b. Perilaku melampau.
c. Pengabaian terhadap hukum sunnatullah.
Semua itu telah terangkum dalam dua bahagian dari‘Risalah Ta’alim’ iaitu :
PERTAMA : RUKUN-RUKUN BAI’AH
KEDUA : KEWAJIBAN-KEWAJIBAN SEORANG MUJAHID
Imam Hasan Al Banna melalui dua bahagian dari risalahnya itu telah berhasil menjelaskan perkara-perkara yang sangat diperlukan oleh setiap peribadi dewasa ini untuk bangkit secara benar bersama kaum muslimin lainnya demi meraih cita-cita.
Oleh kerana itu, meskipun ‘Risalah Ta’alim’ dilukiskan dalam bentuk taujih (pengarahan) kepada individu tetapi ia juga menyebutkan pandangan keseluruhan gerakan iaitu :
a. Menyangkut proses menuju penegakan daulah.
b. Cara perjalanan sesudah daulah diwujudkan.
c. Strategi politik gerakan.
dan lain-lainnya.
Semua itu disampaikan secara langsung dalam bentuk arahan kepada individu. Ini adalah kerana, jika individu tidak mempunyai pandangan yang jelas di dalam sesuatu perkara, maka keupayaannya untuk bertolak secara berterusan di dalam suatu barisan yang mantap akan menjadi lemah.
Titik tolak untuk mewujudkan saf yang mampu mencapai tujuan adalah dengan tersedianya indidvidu-individu yang :
1. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat.
2. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang cara-cara untuk melaksanakan matlamat tersebut.
3. Mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan dirinya dengan saf.
‘Risalah Ta’alim’ memberikan semua ini walaupun melalui lembarannya yang agak sedikit. Itulah salah satu bukti anugerah Ilahi bagi Imam Hasan Al Banna.
Dalam bahagian kedua, ‘Risalah Ta’alim’ memperincikan segala sesuatu yang diperlukan oleh setiap peribadi muslim dewasa ini, agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan masa lalu, di samping menjelaskan petunjuk-petunjuk untuk meniti masa depan.
Dengan yang demikian, ‘Risalah Ta’alim’ telah menetapkan titik bermula bagi setiap muslim untuk mencapai posisi ‘Hanya kalimat Allahlah yang tertinggi’ di muka bumi ini.
Bahkan ‘Risalah Ta’alim’ telah meletakkan anak kunci alam di tangan orang-orang Islam jika mereka pandai bergerak dan beramal secara betul, insyaAllah.
Di antara perkara penting yang diwujudkan oleh ‘Risalah Ta’alim’ pada sedikit halamannya adalah berupa penjelasan mengenai berbagai perkara yang diperlukan oleh gerakan Islam :
a. Dari yang berbentuk umum kepada yang lebih terperinci.
b. Dari yang samar-samar kepada bentuk yang lebih jelas.
Misalnya dalam permasalahan bai’ah di mana selama ini istilah “bai’ah” dalam masyarakat Islam hanya dikenali dengan makna janji setia untuk mengamalkan wirid tertentu atau untuk taat pada seseorang syeikh atau tok guru tertentu.
RUKUN-RUKUN BAI’AH
‘Risalah Ta’alim’ datang dengan penjelasan tentang batasan-batasan bai’ah yang diperlukan pada zaman ini, bahwa ia adalah:
1. ‘Bai’ah’ untuk memahami Islam secara benar. Tanpa kefahaman yang benar ini, aktiviti atas nama Islam tidak akan pernah berlaku. Tanpa kefahaman, langkah bersama menuju Islam tidak dapat diwujudkan. Jika pun dapat diwujudkan, maka ia hanya berada di ruang lingkup yang sempit dan tidak dapat memenuhi keperluan masa kini mahupun masa mendatang.
2. ‘Bai’ah’ untuk ikhlas. Tanpa keikhlasan, amal apapun tidak akan diterima oleh Allah dan tidak juga dapat bergerak di medan dakwah secara benar di samping saf itu sendiri boleh ditipu.
3. ‘Bai’ah’ untuk beramal, yang telah ditentukan garis permulaannya dan jelas kesudahannya iaitu yang dimulai dari diri sendiri dan berakhir dengan penguasaan Islam ke atas dunia seluruhnya. Ini merupakan kewajiban yang tidak disedari oleh orang-orang Islam namun tiada seorang muslim pun yang terlepas dari kewajibannya.
4. ‘Bai’ah’ untuk melakukan jihad, yang ramai orang Islam lupa bahwa ia adalah neraca untuk menimbang keimanan.
5. ‘Bai’ah’ untuk berkorban dengan segala yang dimiliki, demi meraih tujuan suci dan syurga Allah.
6. ‘Bai’ah’ untuk taat sesuai dengan peringkat dan tingkatan kemampuan.
7. ‘Bai’ah’ untuk tegar menghadapi segala keadaan di setiap waktu.
8. ‘Bai’ah’ untuk memberikan kesetiaan bagi dakwah ini dengan melepaskan diri dengan keterikatan selainnya.
9. ‘Bai’ah’ untuk berukhuwah sebagai titik tolak untuk bergerak.
10. ‘Bai’ah’ untuk tsiqah (memberikan kepercayaan) kepada pemimpin dan safnya.
Demikianlah bai’ah memiliki sepuluh rukun. Jika berlaku pelanggaran pada salah satu dari rukun ini, maka titik tolaknya telah keliru dan pembinaan tidak mungkin sempurna serta bangunan dakwah tidak akan pernah selesai secara utuh.
Jika itu yang berlaku, maka mungkin akan terjadi keretakan melalui rukun yang cacat ini buat seseorang akh di mana Jamaah pun akhirnya akan mendapat kesan dari keretakan ini melalui akh tersebut.
Oleh kerana itu, pematerian dan penjelmaan tiap-tiap rukun yang sepuluh ini dalam diri setiap akh merupakan satu-satunya syarat yang akan menjamin permulaan langkah dan penerusannya.
Itulah bahagian pertama dari ‘Risalah Ta’alim’.
KEWAJIBAN-KEWAJIBAN SEORANG PEJUANG
Apabila ia telah menjadi jelas, bererti telah ditemui sebuah peribadi pejuang yang siap sedia memberikan komitmennya pada segala perkara yang dituntut oleh harakah. Dari sanalah munculnya bahagian kedua yang memuatkan tiga puluh lapan (38) arahan, dilanjutkan dengan penutup risalah yang berisi kesimpulan dan rangsangan untuk beramal.
Oleh yang demikian, dalam risalah ini telah digariskan perkara-perkara yang diperlukan oleh seorang akh dalam kedudukannya sebagai seorang muslim moden, serta seorang pejuang yang berkomitmen penuh kepada saf dan pimpinannya.
Melalui pembicaraan yang diarahkan kepada individu, maka bangunan jamaah, masa depan harakah dan konsep perjalanan gerakannya telah ditegakkan.
Barangsiapa yang tidak memahami risalah ini, maka ia tidak akan mengenali dakwah Ikhwanul Muslimin dan barangsiapa yang tidak berpegang teguh dengannya maka ia bukanlah golongan Ikhwanul Muslimin, meskipun mengibarkan panjinya dan mendakwakan diri dengannya.
Dengan memerhatikan risalah ini dari mukadimah hingga penutup, dapatlah difahami bahwa ‘Risalah Ta’alim’ bersifat praktial di mana ianya ditujukan secara khusus untuk golongan tertentu dari kalangan Ikhwanul Muslimin.
Gagasan Imam Hasan Al Banna yang mengkhususkan pembicaraan untuk sekelompok tertentu dari ikhwan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang aneh kerana cara seperti ini juga merupakan cara yang dilakukan oleh Al Qur’an dan sebahagian dari sunnah Rasulullah saw.
Al Qur’an telah berbicara secara khusus kepada Rasulullah saw, lalu kepada orang-orang yang beriman, dan di saat lain dengan golongan lain pula.
Oleh kerana itu, jika Imam Hasan Al Banna mengkhususkan pembicaraan kepada orang tertentu di kalangan Ikhwan, perkara itu menunjukkan atas kearifannya.
Imam Hasan Al Banna sedar bahwa tidak semua orang muslim dewasa ini memiliki kesediaan untuk mewujudkan komitmen atas keislamannya yang tertinggi. Beliau sedar bahwa Islam memerlukan suatu kelompok tertentu. Untuk tujuan itulah beliau membuat peringkat-peringkat keterikatannya kepada dakwah.
Risalah ini ditujukan kepada anggota ikhwan pada peringkat pejuang dengan maksud agar dapat membangkitkan cita-cita umat Islam dan pada saat yang sama dapat mengetahui syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jihad.
Sungguh, Islam tidak akan bangkit tanpa kelompok seperti ini. Kelompok seperti ini tidak akan mampu melaksanakan syarat-syarat kebangkitan kecuali jika ia memiliki komitmen penuh dengan risalah ini, yakni komitmen terhadap rukun-rukun bai’ah dan menunaikan kewajiban-kewajibannya.
DAKWAH IKHWAN ADALAH UBAT
Dakwah Ikhwanul Muslimin adalah merupakan ubat. Setiap individunya diberi panduan khusus. Jika berlaku kecacatan pada panduan maka berlaku jugalah kecacatan pada ubat sehingga ia boleh menjadi racun.
Oleh itu, setiap al akh hendaklah menjaga ciri-ciri dakwah ini dengan sempurna dengan tidak mengubah panduannya, kerana itu akan memberi akibat yang buruk.
Dengan panduan ini, jamaah menjadi ubat yang mujarab bagi setiap penyakit yang menimpa orang-orang Islam.
Jika panduan berbeza maka berbeza pula cara pengubatannya. Oleh itu hendaklah kita menjaga panduan supaya ia menjadi ruh bagi umat ini.
Kita hendaklah bijak berdakwah kepada Allah dan dakwah kita hendaklah semata-mata untuk Allah bukan utuk diri kita. Kedapatan ramai di antara pendakwah-pendakwah yang memulakan dakwah mengajak mansuia kepada Allah kemudiannya bertukar dengan mengajak manusia kepada diri mereka sendiri.
Kita hendaklah fahami betul-betul tentang jiwa manusia, pandai mendidiknya, pandai membersihkannya dan pandai meningkatkannya. Ini tidak boleh dilakukan kecuali kita memiliki kunci untuk membuka pintu hati manusia. Kunci ini tidak boleh diperolehi tanpa ilmu dan amal di samping hikmah dan petunjuk dari Allah Rabbul Alamin
Ya Allah, jadikanlah kami penolong-penolong agamaMu yang berjanji setia untuk mendengar dan taat samada dalam keadaan susah atau senang, samada semasa suka atau terpaksa. Tetapkanlah kami di atas jalan dakwah ini sehingga kami dipanggil pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/2012/04/menerobos-ke-ufuk-taalim.html
No comments:
Post a Comment