Monday, April 30, 2012

Pemergianmu (Perpisahan Yang DiTaqdirkan....)

Saya kongsikan nota-nota seorang suami murabbi mithali yang tabah dan redha di atas pemergian seorang isteri murabbiah mithali. Semoga Allah curahkan keridhaanNya buat mereka sekeluarga dan semoga menjadi bahan renungan kita semua;

Faham
Encik Faham
Nada lembut doktor yang bertanyaku
Yang isteriku sekarang dalam tahap kritikal
Setelah dikesan terdapat bekuan darah di otak kiri
Sehingga melumpuhkan anggota kanan
dan percakapannya
Ditambah dengan tompok-tompok di otak kanan
Betapa
Deritanya hati ini
melihat engkau yang kusayangi begitu
Dan
Bertambahnya derita
Apabila sekali sekala engkau keluarkan air mata
Tapi
Apakan daya
Aku tidak mempunyai kuasa
Yang menentukan segala-galanya
Hanya Allah Yang Maha Berkuasa
Yang Maha Mengetahui
Apakah disebalik semua ini
Ya Aku faham
Setiap pertemuan akan ada perpisahan
Setiap yang bernyawa pasti akan kembali ke ilahi
Dan aku cuba memujuk hati ini
Redha dengan apa yang telah ditetapkan

Saat Akhir
Setelah dua minggu berlalu
Dan platlet (darah) semakin tidak menentu
Doktor maklumkan, kami tak boleh buat apa-apa
Sayangku
Kami hanya mampu doa apa yang terbaik bagimu
Jumaat yang bersejarah dalam hidupku
Suhumu mencecah 41 darjah
Sedangkan kaki tanganmu ibarat air batu
Dan engkau tercungap mencari nafas
Aku hanya mampu berdoa
Segala puji bagi Allah
Yang kemudiannya telah kurniakan ketenangan padamu
Dan padaku
Maka
Bertentang mata kita
Sambil aku berbicara dan engkau mengiya
Mengingatkan tentang syurga
Serta ukhuwah, ikhwah dan akhawat yang sentiasa bersama
Begitu jua pesanan tentang anak-anak
Bermaafan
Serta mengucapkan redhaku pada mu
Doaku agar Allah redha padamu
Ganjaran syurgaNya yang menanti
Dan mengingatkan kembali syahadah kepadaNya
Saat begitu indah bagiku
Sehingga
Tanpa kusedari
Engkau pergi

Pusara
Anak-anakku
Sengaja Ayah pilih pusara ibumu
Mudah untuk dilawati
Mengingati dan mencontohi
Ibumu yang berusaha menegak agama Allah ini
Sahabat-sahabatku
Sengaja aku pilih pusara sahabatmu
Dalam laluanmu
Agar mudah diziarahi
Untuk mengingatkan diri
Kita bakal menuruti
Sambil engkau hadiahkan
Al-fatihah dan sekalong doa
Pada saudaramu yang telah pergi dahulu
dan memaafkan segala kesalahannya padamu
Pesanku pada diriku
Dan pada sahabat sahabatku
Dunia ini hanyalah sementara
Yang kekal hanyalah Akhirat
Selama-lamanya

Tugas
Sayangku
Selesailah tugasmu sebagai isteri dan ibu
dan pendakwah di jalan Allah
Kami mendoakan segala amalmu
membawamu kesyurga Allah
dan kau dilindungi dari segala azabNya
Dan kami pula
Kami yang tinggal
Tugas kami masih belum selesai
Moga Allah meredhai kami
dan menerima pengorbanan kami
Komen: Selamat jalan wahai ukhti tersayang, Puan Napisah. Ukhti sudah sampai matlamat. Kami masih meneruskan ke matlamat yang telah ditetapkan Allah. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Amiin.

No comments: