Takutlah kepada dosa!
Dosa adalah racun yang berbisa.
Dosa merupakan punca manusia terhumban ke lubuk neraka.
Mukmin adalah orang yang takut kepada dosa. Daripada Abdullah bin Mas’ud , Nabi sallallahu alaihi wasalam bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya mukmin melihat dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki bukit dan dia takut bukit itu akan runtuh menghempap dirinya. Dan sesungguhnya fajir (orang jahat) melihat dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia menepis-nepisnya.”
(Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)
Mukmin akan sentiasa menghisab dirinya. Dia takut kepada dosa walaupun kecil kerana mungkin dosa yang kecil akan memusnahkan pahalanya yang besar. Sejak dahulu para salaf yang soleh berpesan: “Jangan engkau lihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa engkau derhaka!”
Sesungguhnya dosa dan maksiat akan meninggalkan kesan yang sangat buruk, memudaratkan diri lahir dan batin, sama ada di dunia mahupun akhirat.
Ibn al-Qayyim rahimahullah menyenaraikan beberapa keburukan dan bahaya dosa yang akan menimpa pelakunya. Antaranya:
1. Terhalang daripada ilmu. Ilmu adalah cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati hamba-Nya. Dan maksiat akan memadamkan cahaya tersebut.
2. Rasa diri terpinggir dan jauh dari Allah Taala. Orang yang terpinggir dan jauh dari Allah tidak akan berasa tenang meskipun segala jenis kelazatan dunia berada dalam genggamannya. Hal ini tidak akan disedari kecuali oleh hati yang masih hidup.
3. Rasa diri terpinggir, jauh dari manusia terutama golongan yang baik-baik. Apabila diri semakin jauh dan renggang dari golongan yang baik, semakin luputlah peluang untuk menimba kebaikan dan mendapat keberkatan daripada mereka.
4. Segala urusannya dipayahkan. Setiap urusan yang hendak dilakukan semuanya sukar dan tersekat.
5. Dosa menjadikan hati dan badan lemah.
6. Terhalang daripada taat. Orang yang berdosa akan berasa terlalu berat untuk taat kepada perintah Allah dan Rasul.
7. Dosa umpama benih yang menumbuhkan dan melahirkan dosa-dosa yang berikutnya sehingga terlalu sukar untuk meninggalkannya. Sesungguhnya kebanyakan orang yang berdosa, berterusan melakukan dosanya bukan kerana mereka seronok melakukan dosa tersebut tetapi mereka berasa sakit apabila meninggalkannya.
8. Tercabut dari hatinya rasa jijik terhadap dosa yang dilakukan kerana telah menjadi kebiasaan. Maka dia tidak melhat dirinya buruk dan tidak peduli pandangan dan kata-kata manusia terhadapnya.
9. Maksiat menjadi punca hinanya seseorang hamba di sisi Tuhannya. Dia tidak berguna langsung di Mata Tuhannya.
10. Dosa menjadikan hati tidak sihat dan tidak lurus. Sebaliknya hati terdedah kepada pelbagai penyakit dan tergelincir ke jalan yang salah.
11. Orang yang berdosa sentiasa menjadi tawanan syaitan, terpasung dan terpenjara di dalam sangkar nafsu.
12. Dosa mengkhianati manusia ketika manusia itu berhajat kepada dirinya. Dosa mengkhianati hati dan lidahnya ketika nazak sehingga dia tidak mampu menuturkan kalimah syahadah pada saat dia sangat-sangat memerlukannya.
Justeru, Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Penyayang sentiasa menyeru hamba-Nya supaya segera bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa sama ada lahir dan batin.
“Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.”
(Al-An’am: 120)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai...”
(At-Tahrim: 8)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(Az-Zumar: 53)
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Ali-‘Imran: 133)
Sambutlah seruan Allah. Bersegeralah bertaubat dan meninggalkanlah dosa-dosa sebelum pintu taubat ditutup rapat.
Daripada Ibn Umar radiallahuanhu, Nabi sallallahu alaihi wasalam bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selagi nyawa tidak sampai ke halkum.” (Riwayat Ahmad).
No comments:
Post a Comment