Monday, March 12, 2012

Anak Derhaka Dapat Balasan Di Dunia

Anak Derhaka Dapat Balasan Di Dunia

Oleh Mohd Fadly Samsudin, Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

SESUNGGUHNYA dosa derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar iaitu 'sebaris' dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi saksi palsu.

Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa adalah anak derhaka, yang selayaknya menerima balasan daripada Allah.

Daripada hadis yang diriwayatkan Tabrani: "Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah zina dan derhaka kepada dua ibu bapa."

Banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita yang ditanggung jika menderhaka kepada ibu bapa di dunia ini.

Ia mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka tidak tenang.

Kisah Wail bin Khattab boleh dijadikan iktibar kerana terlalu cintakan isteri, dia sering mencaci dan mempercayai segala yang dikata isterinya terhadap ibunya.

Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan tidak terhingga. Dia menggelupur hingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya.

Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat hingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku.

Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan tidak terhingga. Dia menggelupur hingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya.

Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat hingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku.

Sahabat amat terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka turut bersama-sama mengajar Wail mengucap kalimah syahadah.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui Nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad (S.A.W) meminta ibu Wail dijemput menemui beliau.

Nabi mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit. Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencacinya kerana dihasut isterinya.

Dia terlalu percaya segala yang dikatakan isterinya hingga menyebabkan ibunya berasa hati. Nabi Muhammad memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu.

Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.

Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti.

Mendengar kata nabi itu, ibu Wail berkata: "Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan."

Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia.

Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung seorang anak yang sanggup mengetepikan ibunya. Itu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda yang bermaksud: "Celakalah; celakalah; dan celakalah! iaitu orang yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satunya hingga sampai usia mereka lanjut, namun dia tidak boleh untuk masuk ke dalam syurga (lantaran tidak berbakti kepada mereka)."

Masyarakat kita juga mempunyai cerita tersendiri yang mengaitkan kisah penderhakaan anak terhadap orang tuanya. Kisah Tanggang yang disumpah menjadi batu cukup memberi kesan kepada kita.

Namun Tanggang zaman sekarang lebih mendukacitakan kerana bukan lagi mulut melafazkan kata-kata kesat tetapi mereka sanggup memukul ayah dan ibu.

Begitulah antara kupasan awal yang yang dipersembahkan penceramah terkenal, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh kepada orang ramai yang hadir memeriahkan Majlis Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas, Muar, baru-baru ini.

Mohd Zawawi berkata, Tanggang dulu adalah anak yang sanggup menderhaka bagi mengejar kemewahan dunia tetapi Tanggang zaman sekarang lebih hebat kerana membabitkan ratusan kes pelik seperti anak rogol emak, kurung bapa sebab mahu hartanya dan ada pula yang tergamak memukul ibu bapa.

"Tanggang moden adalah anak berhati batu hingga sanggup melakukan perbuatan keji terhadap kedua-dua ibu bapa seperti mengurung bapa semata-mata ingin merampas hartanya dan tidak kurang juga ibu bapa yang ditinggalkan di tepi jalan.

Cerita Tanggang disumpah menjadi batu seakan-akan gagal menginsafkan anak kita pada zaman sekarang," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanku sudah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka, sebagaimana mereka telah mendidik aku ketika kecil." (Surah al-Isra' ayat 23-24).

Begitulah kedudukan ibu bapa yang perlu dimuliakan setiap masa dan amat bertentangan sekali jika ada anak yang langsung tidak menghormati, malah sanggup menderhaka.

Mohd Zawawi berkata, punca berlakunya perkara itu kerana kurangnya didikan ilmu agama daripada ibu bapa sendiri.

"Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah. Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu yang dipelajari terabai begitu saja.

"Mereka terlalu mementingkan kerjaya masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa sebarang panduan daripada Ibu bapa," katanya.

Anak yang tiada arah panduan pastinya menjadikan rakan sebaya sebagai tempat meluahkan segala-galanya berbanding ibu bapa.

Tanggang moden turut dikaitkan dengan kelemahan sistem pendidikan dan pengaruh media yang mengagungkan budaya Barat hingga merosakkan pemikiran golongan muda.

"Budaya bebas berfikir ini hanya mewujudkan pelbagai masalah sosial seperti menularnya seks bebas, samseng jalanan serta kelahiran anak luar nikah.

"Kita perlu bijak berfikir. Ia perlulah sesuai dengan kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam," kata Mohd Zawawi.

Sementara itu, Ustazah Azini Mansor pula menceritakan kisah seorang anak perempuan yang sanggup menderhaka kepada ibunya kerana ditegur bermain telefon bimbit hingga lewat malam.

"Ibu tidak senang melihat perilaku anaknya itu menegur beberapa kali sebelum merampas telefon bimbit.

"Selepas mendapati telefon bimbitnya rosak, anak perempuan itu hilang pertimbangan hingga tergamak mencekik ibunya," katanya.

Kisah itu tidak berakhir di situ, malah berlanjutan hingga masing-masing membuat laporan polis atas tuduhan cubaan membunuh.

"Namun anak lebih bijak kerana dia melaporkan tindakannya itu sebagai mempertahankan dirinya. Lebih teruk, dia tergamak membuat tuduhan ibu mahu membunuhnya.

"Apa sudah jadi? Anak lebih sayangkan telefon bimbit berbanding ibu bapa sendiri. Ke mana perginya budaya hormat menghormati yang cukup dekat dengan masyarakat kita?" katanya.

Kisah terbabit menjelaskan betapa dahsyatnya Tanggang zaman sekarang apabila anak muda bagaikan hilang pedoman dan bersikap hati batu terhadap ibu bapa.

Kesibukan dalam memenuhi tuntutan kerjaya tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab mendidik anak.

Ibu bapa perlu kerap memantau gerak geri anak mereka bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam kawalan.

Komunikasi juga penting dalam mendidik anak dalam zaman serba moden supaya mereka sentiasa berhubung rapat antara satu dan lain.

"Ibu bapa perlu meluangkan masa tiga hingga lima jam sehari untuk anak mereka.

"Didikan yang berterusan juga harus dipraktikkan bukan saja di sekolah tetapi di rumah kerana masa banyak diluangkan di rumah," kata Ustazah Azini.

http://www.mukmin.com.my/baca.php?kategori=11&id=1536#

No comments: