Monday, March 19, 2012

Bersabarlah warga Syria.. kemenangan datang melalui kesabaran

Bersabarlah warga Syria.. kemenangan datang melalui kesabaran

Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin 1/3/2012

Segala puji bagi Allah Raja yang paling berkuasa dan gagah perkasa, yang telah menundukkan tengkuk Firaun. Dialah yang memberikan kerajaan kepada orang-orang yang dikehendaki dan melucutkan kerajaan kepada orang yang dikehendaki-Nya. Selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk Allah, pemimpin kita, ketua kita dan contoh teladan kita, Muhammad saw ..

Dan seterusnya.

Walaupun telah berlalu hampir setahun kebangkitan rakyat Syria yang dikasihi untuk menuntut hak-hak mereka yang sah kepada kebebasan, kemuliaan, keadilan dan persamaan, yang selari dengan tuntutan rakyat Arab yang lain dalam revolusi “Arab Spring”. Rejim Syria yang kejam telah menolak - dengan penuh kemarahan, penipuan dan kesombongan – untuk memenuhi tuntutan-tuntutan ini, malah telah bertambah teruk hingga sampai ke tahap membunuh beribu korban dan menyeksa puluhan ribu, menghalau, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan mengalirkan dengan deras sungai darah yang suci, mensabotaj dan memusnahkan infrastruktur banyak bandar-bandar.. Walaupun wujud seruan yang berterusan dari kebanyakan negara di dunia yang meminta rejim Syria supaya memenuhi permintaan rakyatnya.

Zaman telah berubah. Rakyat adalah tuan kepada ketetapannya sendiri. Selepas hari ini mereka tidak akan menerima rejim yang menentukan masa depan mereka dan berjalan mengikut kehendaknya. Sungguhpun demikian, rejim Syria yang kejam masih melakukan kekerasan dalam tindakannya, telah mengikut jejak langkah syaitan dan tenteranya sehingga kejahatan rejim sampai kepada darjat yang paling rendah. Tiada lagi keamanan dan keselamatan kepada warganya dan tiada lagi pelindung kepada penduduknya, malah telah menjadi satu contoh kezaliman, kekejaman, kekerasan dan keganasan dalam bentuk yang paling dahsyat.

Telah buta matanya dari melihatkan kekejamannya, telah pekak telinganya dari mendengar kekacauannya. Benarlah kata-kata Allah SWT di dalam firman-Nya bermaksud:

“Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.” (Al-Baqarah: 205-206) ,


Akibat dari kemurkaan Tuhan rejim Syria tidak lagi dapat mendengar seruan orang-orang yang ikhlas dan tidak lagi dapat mengambil teguran dari orang-orang yang memberi nasihat. Malah berterusan dalam dasar-dasar politik terkutuk yang telah melemahkan dasar-dasarnya dan memusnahkan tunjangnya di mana rejim percaya bahawa ia masih kukuh kerana meniru politik ala Firaun terdahulu yang diperbaharui pada setiap zaman dengan melakukan kekerasan dan kekejaman:

“Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”. (Al-A’raf: 127).

Sesungguhnya darah para syuhada, deritanya orang-orang yang tercedera, mengerang kesakitan orang-orang yang diseksa, menghidu bau api, ubat bedil dan meriam, pelbagai cara penindasan dan penyeksaan adalah kecelakaan dan laknat yang Allah balikkan ke atas semua kerajaan yang kejam dan ingkar. Ini menandakan tentang kehilangan takhta mereka dan kuasa mereka untuk selama-lamanya dan menjadi paku terakhir kepada keranda rejim yang selama ini dipercayai ramai orang bahawa ia adalah tuan kepada rakyatnya dan bukan pekerja, dan seterusnya mengangkat dirinya bahawa rakyat perlu untuk berlutut kepadanya kerana menuruti jejak Firaun apabila dia berkata:

“Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”. (An-Naaziat: 24).

Kami telah menolak dari awal lagi dasar politik rejim di Syria dan cara menangani revolusi dari rakyatnya, mengasari kehendak dan permintaan rakyat Syria yang dikasihi. Kami serta orang lain meminta rejim supaya memenuhi tuntutan rakyat dan menjalankan peranannya dalam memberikan perlindungan dan perkhidmatan, rakyat tidak diganyang dan dibunuh, memelihara sumber negaranya, tidak dimusnahkan dan tidak dirampas. Namun, rejim Basyar tidak mahu menerima nasihat seorangpun, beliau menyangka bahawa melepasi sempadan dalam pembunuhan, kekejaman dan kerosakan di muka bumi akan memadamkan Revolusi Syria diberkati dalam sehari dan akan membuat rakyat Syria melutut dan berundur.

Namun, pedulilah!! Beliau terlupa bahawa darah pasti memarakkan revolusi dan setiap kali rejim melepasi sempadan dalam darah, maka semakin dekat kepada penghujung kerajaannya yang akan menjadi pengajaran seumpama rejim-rejim yang mendahuluinya, seperti rejim zalim di Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman, mahupun sebelum mereka seperti Firaun dan Haman serta Haile Selassie dan lain-lainnya yang telah melakukan kezaliman dan kekejaman lama dahulu!!

Mesej kepada rakyat Syria yang dikasihi ..

Wahai warga mulia yang memiliki sejarah, keunggulan dan kemuliaan Arab dan Islam .. Allah mendengar anda dan melihat anda berdoa; "Ya Allah! Tiada lagi tempat kami meminta pertolongan selain Engkau, Wahai Allah!" dan anda menyerahkan para syuhada setiap hari dan tidak sedikit darah anda yang terkorban demi kebebasan anda. Demi Allah, bersumpahlah dengan ketinggian dan keagungan-Nya supaya Allah menolong anda walaupun selepas beberapa ketika .. Sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat dengan izin-Nya. Oleh itu, janganlah merasa lemah dan janganlah berdukacita. Bersatulah. Anda hendaklah menjadi hamba Allah yang bersaudara, kerana perpaduan anda adalah rahsia kekuatan anda. Mintalah pertolongan dan bantuan dari Allah. Dialah yang Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa mengatasi hamba-hambaNya. Laksanakanlah punca kemenangan dalam diri anda sendiri sebelum terlaksana kemenangan di negeri anda. Satukanlah barisan anda dan usaha anda;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Soff: 4),

Jadikanlah pimpinan anda sebagai matlamat anda,. Dahulukanlah kepentingan tertinggi untuk tanahair tercinta mengatasi kepentingan peribadi. Peliharalah revolusi aman anda. Janganlah anda menerima campur tangan asing dalam urusan anda. Pergunakanlah saluran media dan tawarkanlah hak-hak anda dalam semua forum antarabangsa dan serantau dan kepada semua kuasa-kuasa dan pertubuhan di semua negara.

Ketahuilah bahawa pertolongan itu datang dari Allah. Allah penolong kepada orang yang menolong-Nya;

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (Al-Hajj: 40)

Justeru, tolonglah Allah dalam diri anda dan dalam realiti sebenar supaya anda memperolehi keredhaan Allah, mendapat pertolongan dan bantuanNya dari arah yang tidak disangka-sangka. Allah menurunkan bala tentera yang tidak akan dapat anda lihat. Janganlah sekali-kali rejim yang zalim menipu anda dengan kekuasaan, kekerasan dan kekejaman mereka, kerana;

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 245),

Oleh itu, ikhlaskanlah kepada Allah dan bersabarlah kerana pertolongan dan kemenangan bersama dengan kesabaran seketika.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)”. (Ali-Imran: 200).

Untuk rejim Syria yang kejam ..

Jika masih ada pada diri anda perasaan malu, maka malulah kepada Tuhan mu dan takutlah kepadaNya dalam kehambaan. Janganlah lupa bahawa anda adalah pekerja kepada rakyat anda. Peliharalah sumber negara yang masih tinggal dan tunaikanlah tuntutan-tuntutan mereka yang sah. Penuhilah kemahuan rakyat supaya menyerahkan kuasa anda kepada orang yang disukainya dan dipilih atas kehendaknya sendiri secara bebas. Hentikanlah pertumpahan darah dan pemusnahan bandar dengan senjata berat yang tidak digunakan terhadap perampas Bukit Golan, musuh Allah dan musuh kita. Bagaimana anda menghabiskan peluru-pelurunya terhadap warga negara anda yang tidak bersalah dan tidak bersenjata. Semoga Allah berikan kebaikan kepada orang yang berkata:

Untuk mendapatkan kebebasan warna merah berada di muka pintu
Setiap tangan yang berlumuran darah cuba mengetuk

Ketahuilah bahawa malam-malam itu ada tempoh dan orbit terus berputar. Dunia bukanlah sebuah negeri yang kekal..

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) (Al-Imran: 140),

Oleh itu, jenayah yang dilakukan tidak akan diampunkan dengan sebab masa yang lama dan rakyat tidak akan lupa untuk membalas balik bagi pihak para syuhada yang suci ..

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” (Ibrahim: 42)

Sesungguhnya jenayah anda telah mengatasi jenayah yang pernah berlaku di mahkamah darurat di Eropah pada Zaman Pertengahan, jenayah para diktator dan zalim semasa sejarah hitam. Anda telah melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan penangkapan yang ganas, tiada lagi belas kasihan dan kasih sayang walaupun ke atas wanita, kanak-kanak dan warga tua, kesombongan dan membuli yang lemah, tidak bersenjata daripada kanak-kanak, warga tua mahupun wanita, membalas dendam dengan menghinakan mereka, memalukan dan memijak-mijak maruah dengan yang hati keras membatu.

Ketahuilah bahawa sunnah Allah pasti akan berlaku iaitu dengan memberikan kehinaan kepada rejim yang kejam dan para penindas di dunia ini sebelum di akhirat ..

“Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Al-Baqarah: 114)

Kesombongan akan dituruti dengan kehinaan. Begitulah sunnah Allah dan anda tidak akan mendapati sebarang perubahan tentang sunnah Allah.

“Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ” Sunnatullah ” (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan ” Sunnatullah ” itu. (Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (Pencipta).

Kepada rakan sejenayah dengan rejim Syria ..

Sesiapa yang menghulurkan tangan membantu rejim yang tercemar, maka tangannya turut terpalit dengan darah saudara-saudara kita orang Syria yang akan membayar harga untuk itu secara politik, populariti dan undang-undang. Rakyat tidak lagi menerima campur tangan duta asing dalam hal ehwal dalaman dan sokongan duta kepada rejim pembunuh, berdiri di sebelahnya dan menyokongnya sama ada dalam forum antarabangsa atau menghantar bantuan seperti tentera pada masa-masa tertentu.

Jelasnya kehendak rakyat terus kuat dan kekal. Kepentingan yang sebenar adalah untuk rakyat, bukannya kepada rejim-rejim yang zalim dan pembunuh kepada rakyatnya. Kesedaran rakyat lebih utama daripada diperdaya dengan alasan-alasan bodoh atau hujah-hujah yang menjijikkan. Kepada negara-negara yang menyokong rejim ini akan menanggung akibat dari penolakan rakyat kepadanya, memulau dan mengklasifikasikannya sebagai negara yang menyokong pembunuh, penindas, perosak dan pemalsu.

Kepada rejim-rejim Arab ..

Terimalah tanggungjawab anda di hadapan Allah, kemudian di hadapan rakyat-rakyat anda tentang rakyat Syria. Marilah menyebelahi kehendak rakyat anda dalam menghentikan jenayah-jenayah rejim Syria dengan cara yang efisien dan berkesan untuk memelihara dan melindungi nyawa dan memulaukan rejim apartheid yang jahat ini, menjauhkan dari jawatankuasa yang tiada pendirian dan membenarkan rejim melakukan jenayah yang lebih teruk terhadap kemanusiaan.

Peranan anda diperlukan waktu ini lebih daripada sebelumnya, iaitu dengan menjalankan kewajipan dalam menghadapi isu Syria, memimpin gerak kerja dengan bersungguh-sungguh dalam menyokong revolusi di Syria, memberi tekanan kepada rejim untuk memaksanya mematuhi tuntutan-tuntutan rakyat Syria, dan kewajipan untuk menyediakan bantuan makanan dan sokongan moral kepada rakyat Syria dan pihak pembangkang di negara itu; demi mencapai kemenangan kepada matlamat yang ditetapkan.

Apa yang berlaku di Syria tidak membolehkan kita lupa apa yang sedang berlaku di atas bumi Palestin yang diberkati seperti usaha pro aktif rejim Zionis untuk mengyahudikan al-Quds, merobohkan Masjid Al-Aqsa dan menukar struktur demografi Palestin. Kita masih berhadapan - dan akan terus berhadapan - dengan semua kekuatan kita dan semua orang-orang Arab dan orang Islam mahupun semua kerajaan ada di dunia.

Mungkin perutusan penting yang disampaikan dalam masjid Al-Azhar semasa kunjungan Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin dalam forum Al-Azhar menjadi simbolik kerjasama erat al-Aqsa dan Al-Azhar dan semua orang-orang Arab dan Islam kepada isu-isu setempat dan serantau yang besar sehingga isu seluruh dunia. Ini kerana Palestin adalah jantung umat. Janganlah berfikir bahawa keprihatinan terhadap mana-mana Negara dengan masalah-masalah dalaman akan melupakan isu-isu yang menjadi pemusatan ..iaitu Palestin tercinta, Palestin yang mulia dan bermaruah.. Oleh itu, kebebasan, kemajuan dan kebangkitan kita seluruhnya adalah bertujuan untuk menyokong Palestin dan rakyatnya dan menyokong mereka sehingga mereka mendapat hak-hak mereka yang dirampas.

Semoga Allah melindungi tanahair kita dan rakyat kita, dan menolong saudara kita di Syria dan Palestin dan di mana-mana negara dalam mencari kebenaran, kebebasan dan kemerdekaan. Semoga Allah membantu kita sehingga tercapai kebaikan untuk agama, negara dan rakyat kita. Kebenaran tidak akan di sebalik permintaan ..

“Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” (As-Syu’ara’: 224).

Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan seluruh alam. Allah yang Maha Besar dan kepada Allah segala pujian.

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=102489

No comments: