Tuesday, March 13, 2012

Mengisi Kemerdekaan Dengan Jiwa Merdeka

Mengisi Kemerdekaan Dengan Jiwa Merdeka

31 Ogos 1957 merupakan hari keramat untuk warga Tanah Melayu. Pada tarikh tersebut Tanah Melayu secara rasmi diisytiharkan merdeka daripada penjajahan British selepas satu abad lebih terjajah. Kemerdekaan merupakan satu nikmat bagi sesebuah negara. Ia adalah lambang kemulian dan kedaulatan. Ia bererti kebebasan daripada kongkongan penjajahan. Ia juga bermaksud kebebasan untuk mentadbir sendiri negara tanpa perlu terikat dengan telunjuk tangan penjajah.

Namun dalam mengisi kemerdekaan ini, jiwa warga sesebuah negara perlu lebih bebas dan merdeka. Kemerdekaan bukan bererti sekadar secara fizikalnya para penjajah meninggalkan negara ini. Tetapi yang lebih utama pemikiran, gaya hidup dan akhlak penjajah juga perlu dinyahkan dari bumi tercinta ini.

Sejarah dunia menunjukkan bahawa kemerdekaan sesebuah negara tidak akan berlaku melainkan setelah para penjajah merasakan segala kepentingan mereka tidak terjejas. Caranya ialah dengan memastikan bahawa para pentadbir baru yang bakal mentadbir negara juga perlu berfikiran seperi mereka. Inilah yang dikatakan “penjajahan minda”. Inilah juga cara penjajahan era moden.

Penjajahan berlaku pada minda, akhlak, tingkah laku dan cara fikir kerana warga di negara merdeka masih berkiblatkan penjajah. Inilah yang disedari oleh Abu A`la al-Maududi, seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India di kala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan. Beliau menyatakan: “Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah (di sini, putih?) namun masih kekal Inggeris berkulit sawo matang”.

Maksud beliau ialah meskipun para penjajah telah pergi, namun bakal –bakal pentadbir yang menggantikan mereka masih berfikiran seperti penjajah dalam menguruskan negara. Justeru, kiblat dan panduan mereka tetap ke barat. Lantaran itu, laungan merdeka tidak wajar hanya menjadi retorik kosong. Ia perlu dilaungkan dengan semangat dan jiwa yang merdeka daripada sebarang idea dan cara hidup penjajah. Inilah usaha besar yang perlu dilakukan oleh warga merdeka.

Hakikat kemerdekaan dalam Islam pula disorot dari perspektif hubungan manusia dan PenciptaNya. Orang yang benar-benar merdeka ialah golongan yang berjaya membebaskan diri daripada kongkongan nafsunya, lalu menyerahkan dirinya untuk berada di bawah tunjuk ajar Allah iaitu Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan alam semesta ini.

Inilah mesej kemerdekaan yang dibawa oleh pejuang-pejuang Islam di awal Islam ketika mereka berusaha membebaskan bangsa dan kaum yang lemah daripada cengkaman penjajahan Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar dunia ketika itu. Ini dapat dilihat menerusi ungkapan seorang pejuang Islam dihadapan Rustum panglima perang Rom: “Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”

Inilah mesej agung kemerdekaan yang dilaungkan dengan beraninya di hadapan pemimpin besar kerajaan besar dunia ketika itu dengan penuh kebanggaan dan keberanian. Mesej merdeka Islam mempunyai wawasan yang jauh. Ia bukan terhenti setakat kehidupan di dunia malah menjangkau hidup selepas alam kematian. Ia bukan sekadar bererti kemerdekaan fizikal, malah ia merupakan kebebasan cara fikir daripada kongkongan manusia yang engkar kepada Allah. Ia bererti tunduk di bawah kekuasaan Allah kerana hanya dengan tunduk kepada Allah para pemerintah akan berjaya memerintah dengan penuh keadilan.

Tanggungjawab pemerintah yang telah mengecapi kemerdekaan jiuga besar. Ia disebut oleh Allah dalam firmanNya bermaksud: "Mereka yang apabila Kami beri kepada mereka kekuasaan, mereka menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh manusia melakukan kebaikan, melarang manusia melakukan kemungkaran, dan hanya milik Allah kesudahan segala perkara.” (al-Haj: 41).

Justeru, jPublish Postiwa merdeka ialah jiwa yang bebas daripada kongkongan minda penjajah yang kufur kepada Allah. Ia bererti bebas daripada terikut-ikut dengan cara hidup mereka yang berkiblatkan nafsu. Ia bererti bebas dari cengkaman nafsu serakah yang jahat. Jiwa merdeka ialah yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kepatuhan inilah menjadikan mereka berusaha mentadbir negara dengan peraturan Allah. Hasilnya keadilan akan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

Sumber: http://www.darulfuqaha.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=219:mengisi-kemerdekaan-dengan-jiwa-merdeka-&catid=67:renungan-a-kesedaran-islam&Itemid=171

No comments: